Sunday, May 11, 2014

"mak tengah berubah" kata emak perlahan.

aku terdiam dan sebak pun mula bertandang. sukarnya untuk aku membayangkan betapa peritnya kehidupan mak. lagi perit apabila terpaksa menundukkan ego memohon maaf dari seorang insan bernama anak.

"mak belajar, baca buku, tengok rancangan tv. mak nak jadi mak yang lebih baik".

aku terkedu lagi. terasa bersalah kerana membangkitkan hal sensitif begitu. puncanya ialah aku yang dengan yakin memeberi nasihat ala-ala pakar motivasi kepada mak. bukan apa, aku jadi rimas bila mak berterusan meleteri adik-adik lelakiku yang sibuk dengan permainan video. aku yang kononnya pelajar kaunseling, yang kononnya sarat dengan ilmu psikologi manusia, berlagak heroin menegur emak. 

mengatakan yang kononnya tidak sesuai berterusan meleteri dan memarahi. boleh memberontak jiwa remaja jika asyik diasak dan dijerkah. 

tidak kuduga niat baikku itu telah mengecilkan hati seorang ibu.

persekitaran membentuk peribadi 

mak selalu bercerita kepada kami anak-anaknya tentang masa kecilnya yang sukar. terpaksa berhenti sekolah dek pemikiran sempit dan kolot atuk nenekku. yang kononnya perempuan tempatnya di dapur. 
mak pelajar cemerlang. selalu mendapat piala dan hadiah setiap kali ada penyampaian hadiah. dan setiap kali itu juga emak gagal menghadirkan diri kerana kekangan pengangkutan.

mak juga terpaksa bekerja dari kecil. terpaksa ke kebun getah menolong atuk apa yang patut. balik dari kerja pula, terus bertungkus lumus menyediakan masakan untuk seisi keluarga lantaran nenek yang tidak begitu sihat.

nenekku juga sangat garang ketika muda. makcik-makcikku sering berkata yang lagak nenekku lebih dasyat dari ibu tiri. 
ibuku cukup benci perangai nenekku yang satu itu. namun puluhan tahun dididik dalam suasana begitu sedikit sebanyak memebentuk peribadi emak yang juga bagiku garang ketika muda. mujur saja mak ialah manusia bijak yang sedar dan mahu mengubah diri. 

mak tengah berubah 

aku tahu mak sedang berusaha. berusaha menjadi ibu terbaik untuk anak-anaknya. 
berusaha mengawal perasaan. berusaha menunjukkan sayang. berusaha berkorban. 

mak, selamat hari ibu.




No comments:

Post a Comment