Monday, September 17, 2012

the ROad that I taken~


dulu,
sering ku titip pesanan kepada teman,
optimislah dengan tuhan,
ujian,
dugaan,
cabaran,
dihadirkan semata untuk menguji tingkat iman..

kini,
ujian menjengah silih berganti,
sampai ketikanya aku penat sendiri.

namun,
kata temanku yang aku sanjungi,
ujian itu datang dengan kasihnya ilahi,
ALLAH menduga kerana mahu kita gagah berdiri,
kalaupun jatuh kita pasti bisa bangkit kembali,
malah lebih gagah menongkah tribulasi..

teman,
jangan dipedulikan katanya orang,
mukmin itu pasti duji,
dengan orang kafir yang benci padanya,
malah dengan muslim yang buta pandangannya..

perjalanan ini sungguh jauh dan panjang,
kalau kau mengharap akan redhanya manusia padamu,
kau akan tersungkur dalam kehinaan,
tetapi,
jika redha ALLAH yang kau buru,
pasti kau akan menang ataupun syahid dalam kemuliaan..

sahabat,teman,rakan atau apa sahaja gelaran,
bersabarlah!
kalau saja kau rasa lemah dan ingin mengalah,
kau renungi dan hayatilah sirah perjuangan Rasulullah,
mulianya baginda,
kerana teguh menghadapi mehnah...

ayuh,
kita bangkit dan terus berlari,
bukan masanya lagi untuk berkelahi..

ISLAM hampir mendapatkan kemenangan,
dan,
aku tidak mahu ketinggalan,

keputusan telah ku ambil,
aku,
akan tetap berjuang walau dalam kepayahan!

lantas,
siapa mahu bersamaku dalam laluan ini~

Dedikasi untukmu


betapa sukarnya bernafas dalam keramaian,
betapa pahitnya menelan kebencian,
betapa jerihnya menghadap kezaliman..

mereka kata anak muda  itu suka,
mereka kata anak muda itu gembira,
mereka kata anak muda itu  menurut rasa,

namun,
ingin aku jeritkan pada dunia,
kerja itu bukan kesukaan malah memeritkan,
tidak mengayakan malah disusahkan,

kata mereka lagi,
belajarlah anak muda,
belajarlah..
kejarlah segulung ijazah,
gembirakan ibu bapamu,
bantulah saudara maramu,
berkhidmatlah dengan pemerintahmu..

namun,
sedarkah mereka,
sijil itu bukan penentu kebahagiaan,
apa guna ijazah kepujian,
jika akhirnya agama  dipinggirkan,
apa guna harta melangit,
kalau mata hatinya sakit?

belajar itu bukan sijil ukurannya,
tapi kematangan menjadi sandaran,
kau lihat,
berapa ramai yang menggengam sijil di tangan,
tapi korupsi menjadi makanan,
rasuah menjadi santapan,
wanita silih berganti sebagai pakaian..

wahai kaum ibu,
wahai kaum bapa sanjunganku,
kami  ingin menyedarkan masyarakat ini dari lena yg panjang,
sudah terlalu lama kita tertidur dengan pulasnya,
maka restuilah dan doakanlah,,

restuilah jalan perjuangan ini,
titipkanlah doa tulus dari bibir basah di malam yang syahdu,
moga dengan itu,
anak-anak muda kekal kuat menyelamatkan masyarakat..

~fateha syauqah~

Belajar memaafkan..



belajar memaafkan..
alangkah indahnya jika ia semudah menuturkannya,,
benar,
dengan maaf, hati yang walang akan menjadi lapang,
hati yang gundah bertukar indah..

dengan maaf,
hati yang resah,
jiwa yang marah,
bisa diubah..
indah benar suatu perkara yang bernama maaf..

namun,
mengertilah..
aku hanya insan bernama manusia,
kenal erti marah bila dikhianati,
tahu bagaimana rasanya terluka bila dicaci..
darahnya mungkin sudah berhenti mengalir,
tapi parutnya..
masih segar..masih sakit..masih terasa...

aku bukan pendendam,
aku juga tidak mahu menjadi pendendam..
kerana aku sedar,
orang yg menyimpan dendam ialah mereka yg kotor hatinya,
galau jiwanya,
berkocak kehidupannya...

maka,
biarlah kelukaan ini disembuhkan dengan bergeraknya masa,
bukan aku tidak mahu melupakan,
aku mahu dan keinginan itu selalu mebuak-buak,
kalau sahaja aku mampu melupakan lantas memaafkan,

lalu,
maafkan aku sahabat,
andai kemaafan tidak dapat aku hulurkan,
aku masih mencuba dan sangat berusaha..
doakan suatu masa nantii kita kembali bersama..

moga kesakitan pengkhianatan ini,
dapat disembuhkan..
lalu, aku kembali bersama kalian,
merasa manisnya ranjau-ranjau kehidupan...

sahabat..
doakan aku supaya aku mampu memaafkan....

~fateha syauqah~

Kasih ayah




Didalam kesibukan menyambut hari ibu,
kadang kita terlupa tentang hebatnya kasih sayang ayah..
cerita yang aku mungkin akan ceritakan,mungkin bukan cerita aku..
mungkin tidak kena pada batang hidung kamu..
mungkin tidak menyentuh hati lansung,
namun bagi aku..inilah cerita paling menyentuh kalbu..
cerita yang pilu..
cerita pengorbanan seorang ayah..

aku anak nakal yang penuh dengan keinginan.
aku anak gadis yang penuh dengan kemahuan..
terkadang kemahuanku melebihi kemampuan ayah.
ya, ayahku hanya lelaki yang bekerja biasa-biasa..
pakaiannya biasa-biasa..
hidupnya biasa-biasa..
namun aku kagum dengan semangat ayah.kagum sungguh
aku lihat ayah tidak pernah mengeluh lelah..
ayah seringkali nampak gagah di mataku..
ayah akan membuat apa sahaja kerja demi menyenangkan keluarga..ibu..adik-adik..aku..
cakap sahaja apa kerja yang tidak pernah ayah buat?
dari kerja yang mudah hingga yang aku sendiri tak mampu..semuanya ayah buat..demi ibu..adik-adik..aku..

aku masih ingat suatu hari,
hari pertama aku masuk asrama..
ayah bangga sungguh..
kata ayah, aku anak yang pandai,
bangga sungguh ayah dengan orang kampung.
haritu, ayah bawa aku ke kedai baju di pekan..
kata ayah lagi,masuk asrama,kena la pakai baju baru,supaya aku bersemangat untuk belajar..

sedang aku memilih baju,
aku terlihat ayah membelek sehelai seluar..lama sungguh..tekun benar..
ayah ambik kemudian ayah letak kembali..
ayah kulihat menggenggam lama seluar tersebut sebelum ayah menarik nafas..
dan ayah lepaskan seluar tersebut..
kehairanan aku bertanya, ambillah kalau mahu..
ayah cakap tak mengapa..seluar ayah masih elok.masih boleh dipakai..
aku diam memandang seluar lusuh ayah yang bertahun tidak bertukar aku kira..
kemudian, ayah mengajak aku ke kaunter untuk membayar harga baju-baju baruku..
ayah mengeluarkan RM100 untuk membayar baranganku..
kesempatan yang ada, aku melihat ke dalam dompet ayah..
kosong..ya..kosong..
ayah hanya ada RM100 cukup-cukup untuk keperluanku..
oh ayah..
baju baru yang telah dibayar aku pandang bersilih ganti dengan seluar ayah..
perlahan air mataku bergenang..pilu..

aku masih ingat juga,
suatu hari ayah jatuh sakit..
teruk benar aku lihat.
namun keesokannya aku melihat ayah bangun jua pergi bekerja..
kehairanan aku bertanya pada ibu,
''ayah sudah sembuh?"..
kata ibu, belum tapi ayah tetap tidak boleh diam..
kata ayah, kalau sakitnya dilayan, siapa yang mahu bagi makan kepada kami?
kata ayah, ketua keluarga kena kuat..kena penuh dengan semangat..
oh ayah...

aku juga masih ingat,
ketika aku remaja, tingkatan tiga aku kira,
aku sudah pandai berbelanja..wangku cepat benar habis..
seringkali aku menelifon ayah memintanya untuk datang,menghantar wang.
suatu hari, wang belanja ku sudah habis.
seperti kebiasaan, aku hubungi ayah.
aku meminta ayah datang segera..segera kerana aku mahu wang belanja..
namun, ayah menolak..kata ayah, sekarang ayah sibuk..
sedang kenduri katanya..
aku membentak..darah remaja ku memberontak.
bagiku ayah sudah tidak sayangkan aku..
aku beri kata dua kepada ayah, datang segera atau aku tidak akan sayangkannya lagi..
ayah mengeluh perlahan..
insyaallah kata ayah..
sejam..dua jam..kelibat ayah dan ibu tidak juga ku nampak..tidak kunjung tiba..
kebosanan menunggu, aku naik bilik dan memarahi ayah dalam hati.ayah mungkiri janjinya..
malamnya hujan lebat,
aku ke kelas seperti biasa,mengulangkaji pelajaran sambil bermain dengan rakan sekelas.
tiba-tiba,aku dipanggil oleh sepupuku..
kata nya, 
ayahku terlibat dengan kemalangan..ketika dalam perjalanan ke sekolahku..
ayah terbabas kerana terlalu laju..
ayah membawa laju..
ayah tidak begitu..ayah selalu berhati-hati..
aku terduduk..menangis..menyesal..semuanya kerana aku..
maafkan aku ayah..

hanya itu yang dapat aku kisahkan..
pengorbanan ayah terlalu banyak namun limitasinya datang dari aku.
tidak dapat mengungkapkan nilaian kasih sayang ayah..
aku tahu, ayah tidak mahu harta dari aku.cukuplah sepotong doa mengiringi hidupnya setiap hari..
doa dari anak yang berdosa, aku pohon agar tuhan tetap makbulkan..
kerana aku sangat sayang ayah sebagaimana aku cinta pada ibu..
moga aku, ayah, ibu dan adik-adik..tetap bersama..
hingga ke syurga..aaminn
~sayanglah ayah sebagaimana kamu cinta ibu~














fateha syauqah
13 mei 2012.
10.46 p.m

Sunday, September 16, 2012

Oopocotttt: Jangan Hina Nabi Aku!!!

‘’ Jom turun himpunan’’


Ajak seorang sahabat saya baru-baru ini. Himpunan yang dimaksudkan ialah himpunan membantah filem menghina nabi yang kononnya karya seorang Amerika berbangsa Yahudi, Sam Bacile.

Filem yang berdurasi selama 14minit ini diberitakan telah menyebabkan seorang kematian diplomat US di Libya kerana kemarahan rakyatnya terhadap filem ini.


Watak yang kononnya ‘Muhammad’

Saya telah pun menonton filem pendek ini malah saya juga telah membaca berita dan artikel yang ditulis oleh masyarakat luar berkenaan isu ini. Tujuannya tidak lain tidak bukan supaya saya dapat memberikan pandangan yang lebih adil, bukan berkiblatkan emosi semata-mata.

Selepas menonton filem yang boleh saya simpulkan sebagai filem paling teruk pernah wujud bukan sahaja kerana jalan cerita tetapi dari sudut pembikinannya. Filem yang latarnya seolah-olah ditampal sangat menggelikan hati saya. Terasa bagai menonton drama pentas yang dilakonkan oleh kanak-kanak pra sekolah. Teruk dan lucu. Sangat teruk tetapi amat lucu! Terasa tidak logik bilamana ia digembar-gemburkan sebagai filem pendek yang mnelan belanja sebanyak 5 juta US dolar. Logikkah?

Sam Bacile yang dikatakan sedang menyembunyikan diri juga bilamana diselidik sebenarnya tidak dapat dibuktikan sama ada wujud ataupun tidak.


Oopocotttt: Jangan Hina Nabi Aku!!!

Saya bukan mahu mengaitkan cerita ini dengan apa-apa teori tetapi sekadar mahu memperlihatkan betapa masyarakat kita mudah melatah. Terlompat-lompat melatah. Sedangkan bila ditanya, adakah anda pernah menonton filem ini? Jawapannya , tidak. Ada juga yang menjawab, saya hanya mahu berdakwah. Kita kena sampaikan walau sepotong ayat kak!

Lucu.. sangat lucu

Dakwah-dakwah juga, tetapi jangan sampai menjadi penyebar fitnah penyebab berpecah belah. Bimbang pahala tak dapat, dosa pula yang ditanggung kelak.

Bukankah ada ayat Al-Quran yang menyebut,

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujuraat49:6)

Nasihat saya mudah, tak salah untuk menerima sesuatu berita tetapi selidiklah terlebih dahulu.
Berbaloikah untuk kita memperlihatkan kepada masyarakat dunia betapa ganasnya agama ini hanya kerana sebuah filem berkualiti rendah seperti ini?

Jujurnya saya sama sekali tidak menentang himpunan membantah filem menghina nabi ini tetapi metodnya yang saya persoalkan.

Pesan seorang ustaz,
“kenapa kita takut dan cepat sangat melatah bilamana orang hina agama kita?”

Sedangkan ada ayat Quran yang berbunyi,

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap". ( Surah Al Isra’ : 81 )

Kita tidak perlu takut dengan perkara yang salah. Apa yang perlu dirisaukan ialah sejauh mana kualiti kita dalam berdakwah untuk menyampaikan kebenaran?

Jangan cepat melatah bilamana orang hina agama kita tetapi tanya pada diri sendiri, Adakah aku sayang agama aku? Apa yang aku dah sumbangkan untuk Islam?

Apakah yang telah kita lakukan dalam membela deen (Islam)  ini?



Malulah kita..malulah
Menghina agama Islam, itu kerja mereka. Tetapi, bagaimana dengan kita?
Sekadar melatah?
Fikir, renungkan dan muhasabahlah..


Nor Fatehah binti Ahmad
Exco Latihan dan Kepimpinan
PMIUPM l Pencetus Inspirasi

Saturday, September 15, 2012

Mahu Gangnam style? silakan


Kebelakangan ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai isu yang berkait dengan teori konspirasi. Teori berkenaan kehadiran dajjal, iluminati, freemason dan sebagainya. Perasaan gundah dan kalut yang pada awalnya bertandang bertukar menjadi bosan dan meluat bilamana hampir semua perkara yang datang dikaitkan dengan teori konspirasi.

Yang terbaru ialah berkenaan fenomena Oppa Gangnam Style.



Saya tidak ingin mengulas panjang mengenai isu Gaya Abang-abang di Gangnam ini. Saya malahan tidak akan menaip maksud keseluruhan lirik lagu yang menjadi fenomena ini. Saya juga tidak mahu seperti sesetengah orang lain mengaitkan lagu ini dengan teori konsiprasi ataupun lebih lucu lagi dengan pemesongan akidah. Cukuplah bagi saya untuk mengupas isu ini dengan pandangan yang lebih adil dan akademik.

Kembara saya ke Korea selama sebulan, walaupun tidak lama tetapi cukup membuatkan saya mengagumi masyarakat Korea dalam beberapa aspek. Ada pihak yang memandang demam korea ini sebagai suatu barah yang akan merosakkan namun tidak saya. Ya, mungkin tariannya tidak sihat( kerana ada tidak sopan dan sebagainya) tetapi budaya kerja mereka amat saya sanjung. Katalah apa sahaja. K-Pop? Industri Filem? Industri Permotoran? Apa sahaja.

Anda fikir berapa lama masa yang diambil oleh Super Junior untuk mereka mahir menari sekompleks itu? Atau berapa lama masa yang diambil oleh Girls Generation untuk menjadi secantik itu? (hanya 2 kumpulan ini sahaja yang saya tahu). Sekali lagi saya ulang, saya tidak mengagumi tarian dan kecantikan mereka tetapi komitmen mereka dalam bekerja itu yang saya hormat.
Perjalanan saya ke korea boleh juga saya sifatkan sebagai satu perjalanan merentas masa hadapan. Mungkin melawat Malaysia 10 tahun akan datang? Saya bukan mahu menceritakan betapa tidak majunya Malaysia tetapi saya ingin mengkisahkan akan majunya masyarakat Korea.

Saya bertanya kepada seorang teman saya dari Korea,

“Apakah penyebab Korea boleh menjadi semaju ini?”

Jawapannya ialah “ budaya kuat kerja”

Mereka juga sangat bangga menggunakan produk buatan mereka. Samsung? LG? Hyundai? Semuanya dari Korea. Bukan sahaja mereka, bahkan kita juga bangga menggunakannya termasuk saya yang menulis (walaupun saya sekadar menggunakan handset Samsung model Corby).

Bukan soal bangga itu yang ingin saya perihalkan tetapi usaha mereka untuk sampai ke tahap itu yang mahu saya tekankan. Rata-rata masyarakat Korea yang bekerja di syarikat-syarikat gergasi seperti Samsung dan LG mengorbankan masa lapang mereka untuk bersosial dengan keluarga dan teman-teman. Hidup mereka hanya kerja dan kerja. Bukan saya mahu kita menjadi seperti itu,sama sekali tidak! Tetapi semangat itu yang saya kagum. Alangkah baiknya kalau kita masyarakat Malaysia heboh mahu mencontohi budaya dan semangat kerja rakyat Korea. Pasti kualiti kerja kakitangan awam mahupun swasta bertambah bermutu. Pasti tiada pekerja yang curi tulang untuk pergi makan mahupun membuka laman sesawang sebelum waktunya. Jika dalam aspek ini yang kita mahu tiru, pasti dan pasti, Negara tercinta ini akan maju. Maju dan lebih maju. Insyaallah.

Berbalik kepada tarian Gangnam sebentar tadi, sekali lagi saya ulang. Saya tidak menyokong bahkan tidak juga mengecam mereka yang sibuk dan teruja mencontohi budaya luar yang terang-terang bertentangan dengan agama dan budaya. Namun, saya lebih suka jika masyarakat kita mengambil perkara yang lebih bermanfaat daripada masyarakat lain. Kalau betul ingin meniru K-Pop, silakan. Tetapi bukan dalam aspek tarian dan pakaian namun dalam aspek kegigihan. Jika mahu menari Gangnam style, teruskan. Namun bukan di hadapan ramai orang dengan pergaulan yang secara jelas melanggar batasan.


Nor Fatehah binti Ahmad I Fatehasyauqah
Exco Latihan dan Kepimpinan
PMIUPM l Pencetus Inspirasi