Showing posts with label sekadar pandangan. Show all posts
Showing posts with label sekadar pandangan. Show all posts

Sunday, September 16, 2012

Oopocotttt: Jangan Hina Nabi Aku!!!

‘’ Jom turun himpunan’’


Ajak seorang sahabat saya baru-baru ini. Himpunan yang dimaksudkan ialah himpunan membantah filem menghina nabi yang kononnya karya seorang Amerika berbangsa Yahudi, Sam Bacile.

Filem yang berdurasi selama 14minit ini diberitakan telah menyebabkan seorang kematian diplomat US di Libya kerana kemarahan rakyatnya terhadap filem ini.


Watak yang kononnya ‘Muhammad’

Saya telah pun menonton filem pendek ini malah saya juga telah membaca berita dan artikel yang ditulis oleh masyarakat luar berkenaan isu ini. Tujuannya tidak lain tidak bukan supaya saya dapat memberikan pandangan yang lebih adil, bukan berkiblatkan emosi semata-mata.

Selepas menonton filem yang boleh saya simpulkan sebagai filem paling teruk pernah wujud bukan sahaja kerana jalan cerita tetapi dari sudut pembikinannya. Filem yang latarnya seolah-olah ditampal sangat menggelikan hati saya. Terasa bagai menonton drama pentas yang dilakonkan oleh kanak-kanak pra sekolah. Teruk dan lucu. Sangat teruk tetapi amat lucu! Terasa tidak logik bilamana ia digembar-gemburkan sebagai filem pendek yang mnelan belanja sebanyak 5 juta US dolar. Logikkah?

Sam Bacile yang dikatakan sedang menyembunyikan diri juga bilamana diselidik sebenarnya tidak dapat dibuktikan sama ada wujud ataupun tidak.


Oopocotttt: Jangan Hina Nabi Aku!!!

Saya bukan mahu mengaitkan cerita ini dengan apa-apa teori tetapi sekadar mahu memperlihatkan betapa masyarakat kita mudah melatah. Terlompat-lompat melatah. Sedangkan bila ditanya, adakah anda pernah menonton filem ini? Jawapannya , tidak. Ada juga yang menjawab, saya hanya mahu berdakwah. Kita kena sampaikan walau sepotong ayat kak!

Lucu.. sangat lucu

Dakwah-dakwah juga, tetapi jangan sampai menjadi penyebar fitnah penyebab berpecah belah. Bimbang pahala tak dapat, dosa pula yang ditanggung kelak.

Bukankah ada ayat Al-Quran yang menyebut,

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujuraat49:6)

Nasihat saya mudah, tak salah untuk menerima sesuatu berita tetapi selidiklah terlebih dahulu.
Berbaloikah untuk kita memperlihatkan kepada masyarakat dunia betapa ganasnya agama ini hanya kerana sebuah filem berkualiti rendah seperti ini?

Jujurnya saya sama sekali tidak menentang himpunan membantah filem menghina nabi ini tetapi metodnya yang saya persoalkan.

Pesan seorang ustaz,
“kenapa kita takut dan cepat sangat melatah bilamana orang hina agama kita?”

Sedangkan ada ayat Quran yang berbunyi,

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap". ( Surah Al Isra’ : 81 )

Kita tidak perlu takut dengan perkara yang salah. Apa yang perlu dirisaukan ialah sejauh mana kualiti kita dalam berdakwah untuk menyampaikan kebenaran?

Jangan cepat melatah bilamana orang hina agama kita tetapi tanya pada diri sendiri, Adakah aku sayang agama aku? Apa yang aku dah sumbangkan untuk Islam?

Apakah yang telah kita lakukan dalam membela deen (Islam)  ini?



Malulah kita..malulah
Menghina agama Islam, itu kerja mereka. Tetapi, bagaimana dengan kita?
Sekadar melatah?
Fikir, renungkan dan muhasabahlah..


Nor Fatehah binti Ahmad
Exco Latihan dan Kepimpinan
PMIUPM l Pencetus Inspirasi

Saturday, September 15, 2012

Mahu Gangnam style? silakan


Kebelakangan ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai isu yang berkait dengan teori konspirasi. Teori berkenaan kehadiran dajjal, iluminati, freemason dan sebagainya. Perasaan gundah dan kalut yang pada awalnya bertandang bertukar menjadi bosan dan meluat bilamana hampir semua perkara yang datang dikaitkan dengan teori konspirasi.

Yang terbaru ialah berkenaan fenomena Oppa Gangnam Style.



Saya tidak ingin mengulas panjang mengenai isu Gaya Abang-abang di Gangnam ini. Saya malahan tidak akan menaip maksud keseluruhan lirik lagu yang menjadi fenomena ini. Saya juga tidak mahu seperti sesetengah orang lain mengaitkan lagu ini dengan teori konsiprasi ataupun lebih lucu lagi dengan pemesongan akidah. Cukuplah bagi saya untuk mengupas isu ini dengan pandangan yang lebih adil dan akademik.

Kembara saya ke Korea selama sebulan, walaupun tidak lama tetapi cukup membuatkan saya mengagumi masyarakat Korea dalam beberapa aspek. Ada pihak yang memandang demam korea ini sebagai suatu barah yang akan merosakkan namun tidak saya. Ya, mungkin tariannya tidak sihat( kerana ada tidak sopan dan sebagainya) tetapi budaya kerja mereka amat saya sanjung. Katalah apa sahaja. K-Pop? Industri Filem? Industri Permotoran? Apa sahaja.

Anda fikir berapa lama masa yang diambil oleh Super Junior untuk mereka mahir menari sekompleks itu? Atau berapa lama masa yang diambil oleh Girls Generation untuk menjadi secantik itu? (hanya 2 kumpulan ini sahaja yang saya tahu). Sekali lagi saya ulang, saya tidak mengagumi tarian dan kecantikan mereka tetapi komitmen mereka dalam bekerja itu yang saya hormat.
Perjalanan saya ke korea boleh juga saya sifatkan sebagai satu perjalanan merentas masa hadapan. Mungkin melawat Malaysia 10 tahun akan datang? Saya bukan mahu menceritakan betapa tidak majunya Malaysia tetapi saya ingin mengkisahkan akan majunya masyarakat Korea.

Saya bertanya kepada seorang teman saya dari Korea,

“Apakah penyebab Korea boleh menjadi semaju ini?”

Jawapannya ialah “ budaya kuat kerja”

Mereka juga sangat bangga menggunakan produk buatan mereka. Samsung? LG? Hyundai? Semuanya dari Korea. Bukan sahaja mereka, bahkan kita juga bangga menggunakannya termasuk saya yang menulis (walaupun saya sekadar menggunakan handset Samsung model Corby).

Bukan soal bangga itu yang ingin saya perihalkan tetapi usaha mereka untuk sampai ke tahap itu yang mahu saya tekankan. Rata-rata masyarakat Korea yang bekerja di syarikat-syarikat gergasi seperti Samsung dan LG mengorbankan masa lapang mereka untuk bersosial dengan keluarga dan teman-teman. Hidup mereka hanya kerja dan kerja. Bukan saya mahu kita menjadi seperti itu,sama sekali tidak! Tetapi semangat itu yang saya kagum. Alangkah baiknya kalau kita masyarakat Malaysia heboh mahu mencontohi budaya dan semangat kerja rakyat Korea. Pasti kualiti kerja kakitangan awam mahupun swasta bertambah bermutu. Pasti tiada pekerja yang curi tulang untuk pergi makan mahupun membuka laman sesawang sebelum waktunya. Jika dalam aspek ini yang kita mahu tiru, pasti dan pasti, Negara tercinta ini akan maju. Maju dan lebih maju. Insyaallah.

Berbalik kepada tarian Gangnam sebentar tadi, sekali lagi saya ulang. Saya tidak menyokong bahkan tidak juga mengecam mereka yang sibuk dan teruja mencontohi budaya luar yang terang-terang bertentangan dengan agama dan budaya. Namun, saya lebih suka jika masyarakat kita mengambil perkara yang lebih bermanfaat daripada masyarakat lain. Kalau betul ingin meniru K-Pop, silakan. Tetapi bukan dalam aspek tarian dan pakaian namun dalam aspek kegigihan. Jika mahu menari Gangnam style, teruskan. Namun bukan di hadapan ramai orang dengan pergaulan yang secara jelas melanggar batasan.


Nor Fatehah binti Ahmad I Fatehasyauqah
Exco Latihan dan Kepimpinan
PMIUPM l Pencetus Inspirasi