Wednesday, April 1, 2015

Pregnant? Nak Makan Apa ni?

Pagi tadi saya ke klinik untuk appointment yang ke 4 semenjak disahkan hamil.
Semuanya normal, kata Kak Laila (My Personelised Nurse). Alhamdulillah.

Hb  maintain. Tekanan darah pun alhamdulillah. Degupan jantung baby pun bukan main kuat lagi waktu buat ultrasound. Teruja sungguh ummu dengar baby duk dup dap dup dap..huhu

Tengah borak-borak dengan Kak Laila pasal Antenatal Class, tiba-tiba terdengar nurse memarahi seorang pesakit di meja sebelah.

"Awak tak boleh macam ni! Hb rendah, tekanan darah rendah. Bahaya untuk bayi dalam kandungan tahu tak?"

Lebih kurang macam tu la ayat dia.

Kasihan juga saya melihat kakak tersebut yang kelihatan terpinga-pinga, Jadi, untuk membantu wanita lain supaya tidak dimarahi sepertimana nasib kakak tersebut, maka saya ingin berkongsi beberapa tips pemakanan yang saya amalkan sepanjang mengandung. Inshaallah.

Harap bermanfaat sangat. Terutama bagi mereka yang kurang pengalaman (macam sayalah, =_=')

Tips 1
# Minum susu kambing panas. Saya selalu minum waktu pagi bagi mengelakkan pertindihan dengan beberapa supplement lain. Jenama yang saya ambil setakat ni higoat sebab dia murah dan tak berbau. Testimoninya pun sangat menyakinkan hati ini. ^_^

Tips2
# Saya biasanya menyertakan kurma dalam diet pagi saya iaitu selepas menghabiskan secawan susu kambing. Dalam tiga biji macam tu. Mengikut pensyarah saya, kurma sangat baik untuk mencegah jaundice (kuning). Jadi ambil seawalnya ok? selain itu, kurma juga membantu memberi tenaga tambahan kepada saya. Setakat ini, saya sangat bertenaga untuk membuat semua kerja rumah disamping berbisnes online (fb: flowwy, instagram: flowwy_collection). Bolehkan promote? ^___^

Tips 3
# Saya kemudiannya akan mengambil pati sarang burung. Jenama yang saya pilih ialah Walit Gold. Bukan apa, sebab testimoni dia juga menyakinkan. Saya minum pati sarang burung ini dengan secawan air masak. Pati sarang burung ini bagus untuk kulit kita dan kulit bayi, Inshaallah. Seeloknya elakkan kacang soya. Nanti kulit bayi jadi sensitif ok.

Tips 4
# Makan buah delima. Selain untuk kecantikan fizikal bayi, ia juga boleh membekalkan asid folik. So, baik untuk ibu-ibu yang baru dalam trimester pertama. Ia juga membantu kita menangani morning sickness yang tak tertahankan tu. :'-(
Saya juga menyediakan pati buah delima, in case tak sempat nak shopping buah delima. Dalam diet saya, saya memilih pati buah delima Gulsan.

Tips 5
# Pil minyak zaitun. Yang ini saya dah kongsikan dalam entri saya sebelum ini iaitu cara meningkatkan hb darah. Jemput-jemput ulangkaji kalau dah lupa, cewah..

Tips 6
# Minum banyak air masak. Saya minum banyak sangat air masak sampai rutin saya setiap 15 minit ialah melawat tandas. Nasib baik dekat je tandas tu. Air masak sangat bagus untuk membekalkan oksigen. Tips tambahan, minum air masak banyak-banyak ketika pargi check up. Kalau tak, nanti nurse marah sikit sebab kencing kotor. Marah sikit je.

Tips 6
# Elakkan makanan segera, air berkarbonat, makanan yang banyak pewarna dan MSG. So, kena pantang makan keropok atau jajan yang memang sedap tapi tak baik lansung untuk bayi. Kalau nak buat air kat rumah pun, elakkan yang banyak pewarna tiruan macam air sirap. Lagi bagus bancuh sahaja pati delima gulsan tu dan tambah gula sikit. Lepas tu, tambah ais dan minum ketika sedang panas dan kehausan. Gulp, boleh bayang tak betapa sedapnya..hihi

Makanan-makanan segera ini boleh mengakibatkan banyak akibat tidak sihat pada bayi tersayang kita ini tau? seperti jaundice, hyperaktif (artificial colouring selalu dikaitkan dengan punca hyperaktif) dan banyak lagi. Jadi, kita cuba elakkan selagi terdaya..Demi baby. demi baby :')

Tips 7
# Ambil supplement yang diberi klinik kalau nak rasa selamat. Macam saya kadang-kadang ter'skip' juga sebab jadualnya makan sebelum tidur. Jadi, kadang-kadang tertidur dulu sebelum sempat makan ubat.. So, maafkan jelah diri sendiri.

Tips tambahan
# Tips tambahan ini ibarat bonuslah. hehe.
Tolong jauhkan diri anda dari asap rokok. Kalau ada suami perokok, minta dia berhenti demi kesihatan dan kecerdikan anak dalam kandungan. Kalau dia tak nak berhenti, minta dia hisap di luar rumah. Dan jangan lupa untuk doa dan galakkan dia untuk berhenti merokok, selamanya. Sebab asap rokok ni boleh menghalang oksigen dari masuk dengan normal ke dalam darah. Dan akibatnya, oksigen tidak dapat dibekalkan dengan baik kepada baby kesayangan kita. Dan, dan ia juga bahaya untuk kita sebagai manusia yang ingin hdup sihat sejahtera.


Setakat ini, itu sahaja perkongsian tips pemakanan yang saya amalkan sepanjang mengandung. Boleh jadi berkesan, boleh jadi tidak. Yang penting kita usaha dan selebihnya bertawakkal. Moga ALLAH melindungi anak syurga di dalam perut kita ini. Aminn

Monday, March 30, 2015

Scan 4D: Review Klinik Sofea

Selepas perasaan "confused" yang melampau ketika membeli barang keperluan bayi di Expo Mid Valley semalam, saya terus mengajak suami untuk scan jantina bayi.

Apa tidaknya, saya asyik terpesona dengan barang-barang warna pink. Rampers pink, barut pink, booties pink, tilam pink, towel pink dan semua jenis barang-barang pink yang lain.

Berpinar-pinar mata saya tengok kilauan kecomelan warna pink yang terpantul pada barang-barang bayi tersebut!

Tapi suami saya kata,

"Ambillah warna merah ni. Selamat sikit"

"Ni warna hijau ni, cute kan?" ayat konon-konon pujuk dari che suami. Isteri ni mula-mula cair juga. Tambah-tambah bila suami cakap lembut mashaallah.

Tapi kalau dah jiwa itu peminat pink tegar, suami belanja aiskrim vanilla se'tesco' pun tak jalan juga. So, barang yang diborong tu terhad. Hanya beberapa baju dan lampin yang unisex.

Keesokkan harinya, selepas selesai ber'car boot sale', saya dan suami pun berlari-lari anak ke klinik sofea. Ketika itu kami sampai dalam pukul 1.00 tengahari.

Klinik Sofea ini terletak berhampiran AEON BIG Puchong Utama, which is sangat dekat dengan rumah tercomel kami.

Sewaktu kami sampai, saya melihat agak ramai pesakit di ruang menunggu. Yang nak scan mungkin hanya dua tiga orang (lihat pada perut mereka), dan selebihnya ialah pesakit dengan sakit masing-masing.

Selepas mendaftar, saya diminta menunggu sehingga nama saya dipanggil. Prosedur pendaftaran sangat mudah. Hanya perlu memberi I/C dan pekerja tersebut terus membuatkan kadi klinik bewarna merah. Ini yang membuatkan saya memilih klinik Sofea kerana prosedur yang mudah,
Tidak perlu membuat temu janji atau mengisi sebarang borang seperti di tempat lain.

Dalam pukul 2.30 petang, nama saya dipanggil. Saya menunggu hampir satu jam setengah! Bagi saya agak lama untuk satu klinik swasta. Tetapi memandangkan hanya seorang doktor yang ada dan mungkin proses scan yang mengambil masa, saya memujuk diri untuk bersabar.
Nak jumpa baby kena lah sabar, iya kan?

Semasa saya mula-mula masuk ke bilik Dr, saya agak terkejut kerana imej Dr yang sedikit berlainan dari bayangan saya, Nampak garang..hihi

Namun sejurus itu, beliau tersenyum dan mengarahkan saya berbaring di tempat scan.Barulah lega sikit hati ini.  Semasa scan, Dr menerangkan serba sedikit mengenai kedudukan bayi. Tunjuk muka, tunjuk kaki, tunjuk tangan. Tunjuk tulang belakang.

Wah, dah jadi manusia comel! huhu. (anak kita, kita kenalah puji,kan?)

Dr kata, semua normal. Alhamdulillah.
Jantina? ahaaa. kira naluri saya ketika membeli belah semalam adalah tepat ^_^


Selepas selesai,
Dr print lima imej 4D tersebut dan meminta saya membuat pembayaran di kaunter. RM80 sahaja! Alhamdulillah, very affordable yet satisfying. 

Selepas membuat pembayaran, pekerja klinik pun menyerah CD yang mengandungi video bayi ketika discan. Seronok sangat! Saya tengok berulang kali. 

Setiap kali tengok video dan imej bayi, saya tersenyum sendiri. Jejari halus yang sedang digenggam. Kaki yang menendang-nendang. Mata yang terpejam rapat. Semuannya menimbulkan seribu satu perasaan keibuan yang mendalam. :')

video

(Belanja video)

Kepada para ibu, saya cadangkan klinik Sofea sekiranya berniat untuk scan. Inshaallah tak menyesal. Kalau dah tahu jantina, senang nak beli baju. Dah boleh panggil baby dengan nama dia sendiri. Mudah kan? Bonding and attachment between us and baby will get closer then ^_^


Fatehasyauqah
30/3/2015
Dalam bilik study



Tuesday, March 24, 2015

NAK KAYA? BERANAKLAH.

Saya dulu-dulu iaitu ketika mula-mula baru kahwin, pernah berbincang dengan suami tentang mempunyai anak.

Saya ketika itu tiba-tiba mempunyai kinginan yang menggebu untuk mempunyai cahaya mata sendiri, apatah lagi tengok anak-anak orang lain yang comel-comel semuanya.

Namun disebabkan saya ini adalah seorang manusia yang sentiasa go with plan, saya membatalkan hasrat tersebut. Hal ini kerana saya mendapati saya dan suami tidak mampu menampung kos bagi mempunyai seorang bayi!

Macam-macam yang saya congakkan dalam kira-kira saya. Dari kos kelahiran, berpantang dan segala macam kos yang menyesakkan dada.

Tambahan pula ketika itu, suami hanya bekerja part time dan saya sendiri hanyalah seorang penganggur lepasan ijazah. Hidup kami ketika itu memang agak susah.

Kami pernah mengira syiling yang kebetulan dikumpul oleh suami untuk ditukar di bank bagi meneruskan hidup untuk bulan berikutnya. Mengisi minyak kereta dengan syiling yang disimpan juga biasa. Malah saya pernah berasa makan berkongsi hanya sebutir telur goreng dengan suami. Menu hari-hari adalah telur yang dipelbagaikan jenis masakannya. Hari ini telur kicap, esok telur sambal. Kalau teringin makan tomyam, maka tomyam telurlah pada hari tersebut!

Ketika itu hidup jadi sangat berkira. Nak gerak sana sini jadi susah disebabkan catuan minyak dan juga belanja. Dulu hanya belajar pepatah kais pagi makan pagi kais petang makan petang, kini kami sudah merasainya. Kadang bila membaca kesusahan orang lain di media, saya mengalirkan air mata disebabkan faham teramat sangat perasaan miskin tersebut.

Maka disebabkan itulah kata saya, hasrat untuk mempunyai bayi mestilah ditangguhkan.

Walaubagaimanapun, balasan suami saya mudah saja.

" Adalah nanti rezeki kita." Itulah kata-katanya setiap kali kami dalam keadaan susah. Keyakinan suami saya tu memang tidak boleh diterima logik akal saya pada mulanya.

Namun selepas saya disahkan hamil, rezeki datang dalam keluarga kami tanpa penjelasan yang logik!

Suami diterima bekerja sepenuh masa.
Kami ditawarkan rumah kondo untuk disewa dengan harga yang lebih murah dari kesemua flat di Puchong.
Dan banyak lagi duit yang datang dari pelbagai sumber yang memang tidak boleh diterima dengan logik akal orang seperti saya.

Dan betullah kata seorang sahabat juga idola saya, dalam hidup ini bukan hanya Persediaan tetapi Keyakinan juga sangat penting. Keyakinan kepada Allah. Yakin dengan rezeki yang ALLAH janjikan terhadap setiap anak yang dikurniakan.

Dan ketika ini, setiap kali saya mengusap perut yang makin membesar, pasti saya akan membisikkan kalimah terima kasih kepada anak bertuah ini.

Kata akak ipar saya dengan nada bercanda, agak-agak kalau rasa susah, beranaklah. Inshaallah senang. Senang duit dan senang hati. ^_^

Thursday, March 12, 2015

Punctual | dengan Manusia dengan Tuhan

Saya ingat lagi satu ketika dahulu, seorang pensyarah yang sangat saya hormati pernah menyindir kami-kami yang selalu datang lewat ke kelas.

Bukan lewat 10 atau 5 minit pun. Kadang-kadang ada yang lewat seminit sahaja. Tetapi bagi pelajar dalam jurusan pendidikan, lewat satu minit adalah kesalahan yang tidak termaafkan. Nak didik anak bangsa kan?

" Selalunya orang yang lewat dalam urusan seharian ini, dia mesti lewat juga dalam menunaikan kewajipan solat"

Begitulah lebih kurang ayat yang pedas dan memanaskan telinga tersebut. Pada ketika itu, saya yang berasa agak tersindir juga berasa agak tidak setuju. Mana ada solat lewat, saya kan budak yang ikut usrah! Lagipun saya lewat beberapa minit sebab banyak urusan yang perlu dilakukan di rumah sewa.

Dan beribu lagi alasan timbul dalam benak saya demi menangkis tuduhan kejam dari pensyarah saya.

Tapi lama-kelamaan, hati nurani dan akal saya mula bersetuju dengan pendapat tersebut.

Kebelakangan ini memang saya agak terlewat mengerjakan solat fardhu. Pada mulanya adalah disebabkan jadual waktu kuliah yang selalu bertembung dengan waktu solat.
Contohnya, kuliah bermula jam 12 tengahari dan tamat jam 3 petang. Selalunya kalau berlaku situasi seperti itu, saya akan menunaikan solat zohor pada jam 3 petang.

Dan hal ini lama-kelamaan menjadi satu kebiasaan. Kalau dulu dengar sahaja azan, saya sudah bergerak mengambil wuduk, kini tidak lagi. Saya sudah hilang rasa ingin segera menyambut seruan ilahi. Saya cenderung untuk menghabiskan semua urusan saya terlebih dahulu berbanding pertemuan dengan Kekasih Hati.

Paksa diri berubah

Semenjak teguran itu, saya memaksa diri saya untuk solat lebih tepat pada waktu. Walaupun ada kuliah, saya akan keluar ketika pensyarah sedang take 5 untuk menunaikan solat. Alhamdulillah, keculasan saya terhadap solat mula berkurang.

Teringat satu kata-kata,

"Kita kalau boleh nak ALLAH tunaikan permintaan kita cepat, tepat dan segera. Minta dipermurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan. Minta kebahagiaan dunia dan akhirat. Macam-macam kita minta dengan ALLAH. Tapi, seruan ALLAH iaitu solat kita lambat-lambatkan. Macam mana ALLAH nak cepat-cepat kabulkan doa kita?"

Sentap.

Sungguh, kalau kita sukar untuk punctual dengan ALLAH. Bagaimana kita hendak punctual dengan manusia lainnya?


Ummu | Fateha Syauqah
    13/3/2015
 Dalam bilik study 

Wednesday, March 11, 2015

Tips tingkatkan hb darah ketika hamil

Dua bulan lepas saya dilanda kebimbangan yang agak dasyat.

Semuanya gara-gara Hb saya menurun sehingga paras 10.5.

Pada mulanya saya hanya tersenyum bila nurse menunjukkan bacaan hb saya yang tidak berapa membanggakan itu. Apalah sangat dengan Hb kan?  Namun senyuman saya menjadi kelat apabila nurse mula mengeluarkan beberapa fakta akan bahaya hal ini.

Katanya, nanti baby tak dapat banyak oksigen kalau hb kurang. Yalah, sel darah merah ini yang bawa oksigen dalam badan. so, kalau hb kurang maksudnya darah tak pekat. kalau darah tak pekat maksudnya kurang sel darah merah. kalau kurang sel darah merah, kuranglah oksigen!

Oh, tidak! saya yang mempunyai naluri keibuan yang menggebu-gebu ini mula berasa risau.
Jadi, selepas berbincang dengan nurse dan membuat sedikit sebanyak pembacaan, saya pun tampil dengan beberapa petua.

Dan Alhamdulillah, hb saya naik dari 10.5 ke 12.5! Jadi, ini petua dan tips yang saya amalkan sepanjang dua bulan lepas. (amaran: ia mungkin berkesan pada saya tetapi tidak pada anda. tetapi tidak salah mencuba kan? No harm done anyway)

Tips dan amalan saya ^_^

1. Perbanyakkan makan buah jambu batu. Kalau saya, saya potong kecil-kecil dan sejukkan terlebih dahulu dalam peti ais. Selain membantu peningkatan hb, ia juga boleh membantu menghilangkan pedih ulu hati (heartbun).

2. Makan buah oren. Selain sedap ia juga membantu menambahkan hb kita. Ada juga yang berpendapat yang buah oren boleh mencantikkan tekstur kulit bayi yang dikandung. Betul atau tidak? tunggulah baby ini keluar nanti, Inshaallah.

3. Minum susu kambing. Setiap pagi saya akan pastikan ada secawan susu kambing sebagai sarapan. Selain ianya baik untuk tulang sebagai sumber kalsium, susu kambing juga makanan sunnah kan??

4. Saya selalu minta a.k.a paksa suami saya belikan bayam. Dan kekerapan makan sayur bayam ini juga membuatkan saya jadi nak muntah setiapkali tengok bayam ini. hehe

5. Olive oil. saya sekarang boleh dikatakan hidup bersama olive oil 24 jam. Mana tidaknya, selain makan olive oil sebagai supplement, Saya juga menyapunya di kawasan-kawasan yang mudah keluar strecth mark, sepanjang masa. Setiap kali mandi dan sebelum tidur. Berkesan? Alhamdulillah setakat ini tiada sebarang stretch mark yang membuat saya stress hingga tak boleh tidur. :')

Ada juga nurse pesan, sila makan hati ayam untuk tambah hb. Ha, yang ini saya tak ikut. Satu, sebab tak selera sangat dan satu lagi, sebab hati ayam ini adalah organ dalaman haiwan. So, cuba elakkan selagi mampu.

Setakat ini, itu sahaja.

Yang penting jaga pemakanan. Jangan selalu makan luar, kalau boleh masak sendiri. Yalah, dirumah kita boleh kawal kandungan makanan kita.
Kalau kedai ini selalunya mesti letak MSG untuk menyedapkan makanan masing-masing secara mudah dan murah.

Dan yang paling penting, banyakkan berdoa. Moga kita dan baby sihat ^_^


Ummu | Fateha Syauqah
        12/3/2015
  Dalam bilik study 

Friday, March 6, 2015

Sabar dalam kebaikan

saya dulu pernah mengalami zaman nakal-nakal juga.

zaman jahiliah orang kata.

tapi itu kisah lama. sekarang ini alhamdulillah. Takdelah baik sangat, cuma mencuba untuk menjadi baik. (dulu, cuba pun tak pernah)

Dan perubahan dari satu zaman ke zaman tu memaksa kita secara semulajadinya melalui fasa-fasa tertentu. 

Fasa yang paling kritikal ialah fasa, kita nak semua benda sekeliling ikut berubah macam kita. Inilah fasa paling mencabar dan kritikal untuk orang yang nak berubah. Dan kalau fasa ini tak dilalui dan dibantu dengan betul, boleh give up jadinya.


Perubahan memakan masa

Ada satu kisah yang diceritakan kepada saya, cerita yang menyentuh hati saya sehingga hari ini. 

Kisah seorang muslimah bernama A. Alhamdulillah dia sudah mula berhijrah. Dari zaman gelap ke zaman mencari hidayah. Dia mengikuti program-program usrah dan ceramah untuk membaiki diri.

Ketika itu, semangatnya untuk berdakwah berkobar-kobar. Jiwa inginkan pengislahan pada dirinya membuatkan dia ingin berdakwah kepada semua manusia. Pengertian A tentang kehidupan Islam sangat idealistik dan malangnya dia memaksa keyakinan itu diyakini oleh menusia lain juga.

pada satu hari si A datang pada saya mengadu. Katanya, dia sangat stress dengan ahli keluarga beliau. Beliau inginkan satu keluarga yang sakinah dan mawwadah. satu rumah yang berkah.
Malangnya, keluarga A tidak begitu. Yang paling stress bagi A ialah adik lelakinya.

A inginkan adiknya solat pada awal waktu. pergi berjemaah ke masjid setiapkali waktu solat. ingin melihat adiknya membaca Quran dengan tartil. namun, semua nasihat A kepada adiknya tidak diendahkan. 

kata si A lagi, dia sudah give up. Dia susah nak berdakwah. pada keluarga sendiri pun dia gagal apatah lagi pada orang lain. 

Sedikit pandangan 

Kata saya, bagilah masa. Bagi masa untuk kita dan mad'u kita. Kita dakwah hari ini, tidak semestinya mad'u akan berubah hari ini. 

Sedangkan kita dulu pun tidak berubah segera bila dengar ceramah yang disampaikan oleh jemaah tabligh depan pintu rumah kita. Atau terus berubah bila guru disiplin rotan kita di hadapan kawan-kawan? Paling tidak kita memerlukan masa untuk memikirkan tentang rasional dan kerelevanan sesuatu nasihat, bukan?

Setiap manusia melalui proses dan fasa perubahan masing-masing. Boleh jadi nasihat kita hari ini, hanya akan diguna 10 tahun lagi. Boleh jadi. 

Dan, hidayah itu kerja Allah. Kita hanya menyampaikan, itu tugas kita. yang buka pintu hati hanyalah Allah. Jangan ambil kerja Tuhan. yang termampu bagi daie seperti kita ialah doa. Istiqamah dengan doa. Kita berubah pun mungkin disebabkan doa-doa orang yang ikhlas mendoakan kita. Siapa tahu kan?

Alhamdulillah 

Setengah tahun selepas tu, saya berjumpa lagi dengan si A. Kali ini mukanya lebih berseri berbanding setengah tahun lepas. Tidak stress dan runsing memanjang disebabkan oleh kerja-kerja dakwah. 

A mengucapkan terima kasih kepada saya. Dan apa yang lebih mengembirakan saya ialah ahli keluarga A sudah mula berubah semuanya. 

Si Ibu mula memakai tudung labuh dan meminta stokin kaki untuk dipinjam. Adiknya yang diceritakan dulu pun sudah pandai menyertai usrah dan mengimamkan solat berjemaah! Hampir menitis air mata saya dengan berita gembira tersebut. Apa yang lebih mengembirakan dari mendengar seorang lagi hamba mula mengenal Tuhan?

Kata A, sebelum mula merubah dia yang terlebih dahulu berubah. Katanya Action speaks Louder than Words. Dia tak cakap tapi dia tunjuk. dan dia juga tidak memaksa perubahan segera. Beri masa dan istiqamah berdoa. Alhamdulillah, semuanya mula menampakkan hasil secara perlahan-lahan.

Katanya lagi, dia kini sudah belajar untuk bersikap lebih lembut terhadap mad'u. Dan hasilnya, dia lebih gembira untuk berdakwah dan istiqamah dalamnya. 

Sabar dalam membuat kebaikan

Kesimpulanya, dalam membuat kebaikan pun perlu ada kesabaran. Jangan memaksa manusia berbuat baik tetapi berbuat baiklah kepada manusia. selepas habis usaha, berdoalah. Moga mad'u kita mendapat hidayah dan kita juga terus istiqamah dalam jalan dakwah.

Inshallah, moga saya dan kamu sentiasa konsisten. atau bahasa usrahnya, istiqamah. 



Monday, March 2, 2015

Jangan sering guna Jangan

Jangan sering guna jangan.

sedar atau tidak kebanyakan dari kita sering menggunakan jangan untuk melarang sesuatu tindakan.

terutamanya pada anak-anak.

Adakah salah menggunakan jangan?

Menurut kebanyakan ahli psikologi barat, penggunaan perkataan jangan yang terlalu kerap akan menimbulkan aksi rebel ataupun pemberontakan dalam jiwa anak-anak.

Jika sesiapa pernah membaca buku Aundrey Ricker dalam bukunya Backtalk, ada dicatatkan bahawa penggunaan perkataan Jangan atau Don't perlu disimpan untuk situasi-situasi yang penting ataupun menurut buku ini, Life-Treathening situation. 

Pasti sangat menyebalkan kalau asyik dipesan,

"Kaklong, jangan buat tu!"

"Kaklong, jangan tengok tv!"

"Adik, jangan buat macamtu!" 

Sebagaimana yang dikatakan, simpan penggunaan perkataan Jangan untuk situasi penting yang memerlukan ketegasan.

Sebagaimana penggunaan jangan dalam Al-quran, kita terutamanya para ibu bapa boleh mencontohi Luqman Al-Hakim dalam penggunaan jangan iaitu menggunakannya dalam perkara-perkara penting dan utama.

seperti, "Jangan menyekutukan Allah" dan yang seumpama dengannya.

Jadi secara automatik, anak-anak kita akan mendapat insyarat akan peri pentingnya larangan tersebut dek kerana jarang-jarang digunakan.

Ya lah, benda-benda eksklusif kalau selalu digunakan akan hilanglah hak eksklusifnya bukan?

Kesimpulannya, tepuk dada, banyakkan membaca. 

p/s: bukan mudah nak jadi mak ayah ^___^