Monday, September 17, 2012

the ROad that I taken~


dulu,
sering ku titip pesanan kepada teman,
optimislah dengan tuhan,
ujian,
dugaan,
cabaran,
dihadirkan semata untuk menguji tingkat iman..

kini,
ujian menjengah silih berganti,
sampai ketikanya aku penat sendiri.

namun,
kata temanku yang aku sanjungi,
ujian itu datang dengan kasihnya ilahi,
ALLAH menduga kerana mahu kita gagah berdiri,
kalaupun jatuh kita pasti bisa bangkit kembali,
malah lebih gagah menongkah tribulasi..

teman,
jangan dipedulikan katanya orang,
mukmin itu pasti duji,
dengan orang kafir yang benci padanya,
malah dengan muslim yang buta pandangannya..

perjalanan ini sungguh jauh dan panjang,
kalau kau mengharap akan redhanya manusia padamu,
kau akan tersungkur dalam kehinaan,
tetapi,
jika redha ALLAH yang kau buru,
pasti kau akan menang ataupun syahid dalam kemuliaan..

sahabat,teman,rakan atau apa sahaja gelaran,
bersabarlah!
kalau saja kau rasa lemah dan ingin mengalah,
kau renungi dan hayatilah sirah perjuangan Rasulullah,
mulianya baginda,
kerana teguh menghadapi mehnah...

ayuh,
kita bangkit dan terus berlari,
bukan masanya lagi untuk berkelahi..

ISLAM hampir mendapatkan kemenangan,
dan,
aku tidak mahu ketinggalan,

keputusan telah ku ambil,
aku,
akan tetap berjuang walau dalam kepayahan!

lantas,
siapa mahu bersamaku dalam laluan ini~

Dedikasi untukmu


betapa sukarnya bernafas dalam keramaian,
betapa pahitnya menelan kebencian,
betapa jerihnya menghadap kezaliman..

mereka kata anak muda  itu suka,
mereka kata anak muda itu gembira,
mereka kata anak muda itu  menurut rasa,

namun,
ingin aku jeritkan pada dunia,
kerja itu bukan kesukaan malah memeritkan,
tidak mengayakan malah disusahkan,

kata mereka lagi,
belajarlah anak muda,
belajarlah..
kejarlah segulung ijazah,
gembirakan ibu bapamu,
bantulah saudara maramu,
berkhidmatlah dengan pemerintahmu..

namun,
sedarkah mereka,
sijil itu bukan penentu kebahagiaan,
apa guna ijazah kepujian,
jika akhirnya agama  dipinggirkan,
apa guna harta melangit,
kalau mata hatinya sakit?

belajar itu bukan sijil ukurannya,
tapi kematangan menjadi sandaran,
kau lihat,
berapa ramai yang menggengam sijil di tangan,
tapi korupsi menjadi makanan,
rasuah menjadi santapan,
wanita silih berganti sebagai pakaian..

wahai kaum ibu,
wahai kaum bapa sanjunganku,
kami  ingin menyedarkan masyarakat ini dari lena yg panjang,
sudah terlalu lama kita tertidur dengan pulasnya,
maka restuilah dan doakanlah,,

restuilah jalan perjuangan ini,
titipkanlah doa tulus dari bibir basah di malam yang syahdu,
moga dengan itu,
anak-anak muda kekal kuat menyelamatkan masyarakat..

~fateha syauqah~

Belajar memaafkan..



belajar memaafkan..
alangkah indahnya jika ia semudah menuturkannya,,
benar,
dengan maaf, hati yang walang akan menjadi lapang,
hati yang gundah bertukar indah..

dengan maaf,
hati yang resah,
jiwa yang marah,
bisa diubah..
indah benar suatu perkara yang bernama maaf..

namun,
mengertilah..
aku hanya insan bernama manusia,
kenal erti marah bila dikhianati,
tahu bagaimana rasanya terluka bila dicaci..
darahnya mungkin sudah berhenti mengalir,
tapi parutnya..
masih segar..masih sakit..masih terasa...

aku bukan pendendam,
aku juga tidak mahu menjadi pendendam..
kerana aku sedar,
orang yg menyimpan dendam ialah mereka yg kotor hatinya,
galau jiwanya,
berkocak kehidupannya...

maka,
biarlah kelukaan ini disembuhkan dengan bergeraknya masa,
bukan aku tidak mahu melupakan,
aku mahu dan keinginan itu selalu mebuak-buak,
kalau sahaja aku mampu melupakan lantas memaafkan,

lalu,
maafkan aku sahabat,
andai kemaafan tidak dapat aku hulurkan,
aku masih mencuba dan sangat berusaha..
doakan suatu masa nantii kita kembali bersama..

moga kesakitan pengkhianatan ini,
dapat disembuhkan..
lalu, aku kembali bersama kalian,
merasa manisnya ranjau-ranjau kehidupan...

sahabat..
doakan aku supaya aku mampu memaafkan....

~fateha syauqah~

Kasih ayah




Didalam kesibukan menyambut hari ibu,
kadang kita terlupa tentang hebatnya kasih sayang ayah..
cerita yang aku mungkin akan ceritakan,mungkin bukan cerita aku..
mungkin tidak kena pada batang hidung kamu..
mungkin tidak menyentuh hati lansung,
namun bagi aku..inilah cerita paling menyentuh kalbu..
cerita yang pilu..
cerita pengorbanan seorang ayah..

aku anak nakal yang penuh dengan keinginan.
aku anak gadis yang penuh dengan kemahuan..
terkadang kemahuanku melebihi kemampuan ayah.
ya, ayahku hanya lelaki yang bekerja biasa-biasa..
pakaiannya biasa-biasa..
hidupnya biasa-biasa..
namun aku kagum dengan semangat ayah.kagum sungguh
aku lihat ayah tidak pernah mengeluh lelah..
ayah seringkali nampak gagah di mataku..
ayah akan membuat apa sahaja kerja demi menyenangkan keluarga..ibu..adik-adik..aku..
cakap sahaja apa kerja yang tidak pernah ayah buat?
dari kerja yang mudah hingga yang aku sendiri tak mampu..semuanya ayah buat..demi ibu..adik-adik..aku..

aku masih ingat suatu hari,
hari pertama aku masuk asrama..
ayah bangga sungguh..
kata ayah, aku anak yang pandai,
bangga sungguh ayah dengan orang kampung.
haritu, ayah bawa aku ke kedai baju di pekan..
kata ayah lagi,masuk asrama,kena la pakai baju baru,supaya aku bersemangat untuk belajar..

sedang aku memilih baju,
aku terlihat ayah membelek sehelai seluar..lama sungguh..tekun benar..
ayah ambik kemudian ayah letak kembali..
ayah kulihat menggenggam lama seluar tersebut sebelum ayah menarik nafas..
dan ayah lepaskan seluar tersebut..
kehairanan aku bertanya, ambillah kalau mahu..
ayah cakap tak mengapa..seluar ayah masih elok.masih boleh dipakai..
aku diam memandang seluar lusuh ayah yang bertahun tidak bertukar aku kira..
kemudian, ayah mengajak aku ke kaunter untuk membayar harga baju-baju baruku..
ayah mengeluarkan RM100 untuk membayar baranganku..
kesempatan yang ada, aku melihat ke dalam dompet ayah..
kosong..ya..kosong..
ayah hanya ada RM100 cukup-cukup untuk keperluanku..
oh ayah..
baju baru yang telah dibayar aku pandang bersilih ganti dengan seluar ayah..
perlahan air mataku bergenang..pilu..

aku masih ingat juga,
suatu hari ayah jatuh sakit..
teruk benar aku lihat.
namun keesokannya aku melihat ayah bangun jua pergi bekerja..
kehairanan aku bertanya pada ibu,
''ayah sudah sembuh?"..
kata ibu, belum tapi ayah tetap tidak boleh diam..
kata ayah, kalau sakitnya dilayan, siapa yang mahu bagi makan kepada kami?
kata ayah, ketua keluarga kena kuat..kena penuh dengan semangat..
oh ayah...

aku juga masih ingat,
ketika aku remaja, tingkatan tiga aku kira,
aku sudah pandai berbelanja..wangku cepat benar habis..
seringkali aku menelifon ayah memintanya untuk datang,menghantar wang.
suatu hari, wang belanja ku sudah habis.
seperti kebiasaan, aku hubungi ayah.
aku meminta ayah datang segera..segera kerana aku mahu wang belanja..
namun, ayah menolak..kata ayah, sekarang ayah sibuk..
sedang kenduri katanya..
aku membentak..darah remaja ku memberontak.
bagiku ayah sudah tidak sayangkan aku..
aku beri kata dua kepada ayah, datang segera atau aku tidak akan sayangkannya lagi..
ayah mengeluh perlahan..
insyaallah kata ayah..
sejam..dua jam..kelibat ayah dan ibu tidak juga ku nampak..tidak kunjung tiba..
kebosanan menunggu, aku naik bilik dan memarahi ayah dalam hati.ayah mungkiri janjinya..
malamnya hujan lebat,
aku ke kelas seperti biasa,mengulangkaji pelajaran sambil bermain dengan rakan sekelas.
tiba-tiba,aku dipanggil oleh sepupuku..
kata nya, 
ayahku terlibat dengan kemalangan..ketika dalam perjalanan ke sekolahku..
ayah terbabas kerana terlalu laju..
ayah membawa laju..
ayah tidak begitu..ayah selalu berhati-hati..
aku terduduk..menangis..menyesal..semuanya kerana aku..
maafkan aku ayah..

hanya itu yang dapat aku kisahkan..
pengorbanan ayah terlalu banyak namun limitasinya datang dari aku.
tidak dapat mengungkapkan nilaian kasih sayang ayah..
aku tahu, ayah tidak mahu harta dari aku.cukuplah sepotong doa mengiringi hidupnya setiap hari..
doa dari anak yang berdosa, aku pohon agar tuhan tetap makbulkan..
kerana aku sangat sayang ayah sebagaimana aku cinta pada ibu..
moga aku, ayah, ibu dan adik-adik..tetap bersama..
hingga ke syurga..aaminn
~sayanglah ayah sebagaimana kamu cinta ibu~














fateha syauqah
13 mei 2012.
10.46 p.m

Sunday, September 16, 2012

Oopocotttt: Jangan Hina Nabi Aku!!!

‘’ Jom turun himpunan’’


Ajak seorang sahabat saya baru-baru ini. Himpunan yang dimaksudkan ialah himpunan membantah filem menghina nabi yang kononnya karya seorang Amerika berbangsa Yahudi, Sam Bacile.

Filem yang berdurasi selama 14minit ini diberitakan telah menyebabkan seorang kematian diplomat US di Libya kerana kemarahan rakyatnya terhadap filem ini.


Watak yang kononnya ‘Muhammad’

Saya telah pun menonton filem pendek ini malah saya juga telah membaca berita dan artikel yang ditulis oleh masyarakat luar berkenaan isu ini. Tujuannya tidak lain tidak bukan supaya saya dapat memberikan pandangan yang lebih adil, bukan berkiblatkan emosi semata-mata.

Selepas menonton filem yang boleh saya simpulkan sebagai filem paling teruk pernah wujud bukan sahaja kerana jalan cerita tetapi dari sudut pembikinannya. Filem yang latarnya seolah-olah ditampal sangat menggelikan hati saya. Terasa bagai menonton drama pentas yang dilakonkan oleh kanak-kanak pra sekolah. Teruk dan lucu. Sangat teruk tetapi amat lucu! Terasa tidak logik bilamana ia digembar-gemburkan sebagai filem pendek yang mnelan belanja sebanyak 5 juta US dolar. Logikkah?

Sam Bacile yang dikatakan sedang menyembunyikan diri juga bilamana diselidik sebenarnya tidak dapat dibuktikan sama ada wujud ataupun tidak.


Oopocotttt: Jangan Hina Nabi Aku!!!

Saya bukan mahu mengaitkan cerita ini dengan apa-apa teori tetapi sekadar mahu memperlihatkan betapa masyarakat kita mudah melatah. Terlompat-lompat melatah. Sedangkan bila ditanya, adakah anda pernah menonton filem ini? Jawapannya , tidak. Ada juga yang menjawab, saya hanya mahu berdakwah. Kita kena sampaikan walau sepotong ayat kak!

Lucu.. sangat lucu

Dakwah-dakwah juga, tetapi jangan sampai menjadi penyebar fitnah penyebab berpecah belah. Bimbang pahala tak dapat, dosa pula yang ditanggung kelak.

Bukankah ada ayat Al-Quran yang menyebut,

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujuraat49:6)

Nasihat saya mudah, tak salah untuk menerima sesuatu berita tetapi selidiklah terlebih dahulu.
Berbaloikah untuk kita memperlihatkan kepada masyarakat dunia betapa ganasnya agama ini hanya kerana sebuah filem berkualiti rendah seperti ini?

Jujurnya saya sama sekali tidak menentang himpunan membantah filem menghina nabi ini tetapi metodnya yang saya persoalkan.

Pesan seorang ustaz,
“kenapa kita takut dan cepat sangat melatah bilamana orang hina agama kita?”

Sedangkan ada ayat Quran yang berbunyi,

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap". ( Surah Al Isra’ : 81 )

Kita tidak perlu takut dengan perkara yang salah. Apa yang perlu dirisaukan ialah sejauh mana kualiti kita dalam berdakwah untuk menyampaikan kebenaran?

Jangan cepat melatah bilamana orang hina agama kita tetapi tanya pada diri sendiri, Adakah aku sayang agama aku? Apa yang aku dah sumbangkan untuk Islam?

Apakah yang telah kita lakukan dalam membela deen (Islam)  ini?



Malulah kita..malulah
Menghina agama Islam, itu kerja mereka. Tetapi, bagaimana dengan kita?
Sekadar melatah?
Fikir, renungkan dan muhasabahlah..


Nor Fatehah binti Ahmad
Exco Latihan dan Kepimpinan
PMIUPM l Pencetus Inspirasi

Saturday, September 15, 2012

Mahu Gangnam style? silakan


Kebelakangan ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai isu yang berkait dengan teori konspirasi. Teori berkenaan kehadiran dajjal, iluminati, freemason dan sebagainya. Perasaan gundah dan kalut yang pada awalnya bertandang bertukar menjadi bosan dan meluat bilamana hampir semua perkara yang datang dikaitkan dengan teori konspirasi.

Yang terbaru ialah berkenaan fenomena Oppa Gangnam Style.



Saya tidak ingin mengulas panjang mengenai isu Gaya Abang-abang di Gangnam ini. Saya malahan tidak akan menaip maksud keseluruhan lirik lagu yang menjadi fenomena ini. Saya juga tidak mahu seperti sesetengah orang lain mengaitkan lagu ini dengan teori konsiprasi ataupun lebih lucu lagi dengan pemesongan akidah. Cukuplah bagi saya untuk mengupas isu ini dengan pandangan yang lebih adil dan akademik.

Kembara saya ke Korea selama sebulan, walaupun tidak lama tetapi cukup membuatkan saya mengagumi masyarakat Korea dalam beberapa aspek. Ada pihak yang memandang demam korea ini sebagai suatu barah yang akan merosakkan namun tidak saya. Ya, mungkin tariannya tidak sihat( kerana ada tidak sopan dan sebagainya) tetapi budaya kerja mereka amat saya sanjung. Katalah apa sahaja. K-Pop? Industri Filem? Industri Permotoran? Apa sahaja.

Anda fikir berapa lama masa yang diambil oleh Super Junior untuk mereka mahir menari sekompleks itu? Atau berapa lama masa yang diambil oleh Girls Generation untuk menjadi secantik itu? (hanya 2 kumpulan ini sahaja yang saya tahu). Sekali lagi saya ulang, saya tidak mengagumi tarian dan kecantikan mereka tetapi komitmen mereka dalam bekerja itu yang saya hormat.
Perjalanan saya ke korea boleh juga saya sifatkan sebagai satu perjalanan merentas masa hadapan. Mungkin melawat Malaysia 10 tahun akan datang? Saya bukan mahu menceritakan betapa tidak majunya Malaysia tetapi saya ingin mengkisahkan akan majunya masyarakat Korea.

Saya bertanya kepada seorang teman saya dari Korea,

“Apakah penyebab Korea boleh menjadi semaju ini?”

Jawapannya ialah “ budaya kuat kerja”

Mereka juga sangat bangga menggunakan produk buatan mereka. Samsung? LG? Hyundai? Semuanya dari Korea. Bukan sahaja mereka, bahkan kita juga bangga menggunakannya termasuk saya yang menulis (walaupun saya sekadar menggunakan handset Samsung model Corby).

Bukan soal bangga itu yang ingin saya perihalkan tetapi usaha mereka untuk sampai ke tahap itu yang mahu saya tekankan. Rata-rata masyarakat Korea yang bekerja di syarikat-syarikat gergasi seperti Samsung dan LG mengorbankan masa lapang mereka untuk bersosial dengan keluarga dan teman-teman. Hidup mereka hanya kerja dan kerja. Bukan saya mahu kita menjadi seperti itu,sama sekali tidak! Tetapi semangat itu yang saya kagum. Alangkah baiknya kalau kita masyarakat Malaysia heboh mahu mencontohi budaya dan semangat kerja rakyat Korea. Pasti kualiti kerja kakitangan awam mahupun swasta bertambah bermutu. Pasti tiada pekerja yang curi tulang untuk pergi makan mahupun membuka laman sesawang sebelum waktunya. Jika dalam aspek ini yang kita mahu tiru, pasti dan pasti, Negara tercinta ini akan maju. Maju dan lebih maju. Insyaallah.

Berbalik kepada tarian Gangnam sebentar tadi, sekali lagi saya ulang. Saya tidak menyokong bahkan tidak juga mengecam mereka yang sibuk dan teruja mencontohi budaya luar yang terang-terang bertentangan dengan agama dan budaya. Namun, saya lebih suka jika masyarakat kita mengambil perkara yang lebih bermanfaat daripada masyarakat lain. Kalau betul ingin meniru K-Pop, silakan. Tetapi bukan dalam aspek tarian dan pakaian namun dalam aspek kegigihan. Jika mahu menari Gangnam style, teruskan. Namun bukan di hadapan ramai orang dengan pergaulan yang secara jelas melanggar batasan.


Nor Fatehah binti Ahmad I Fatehasyauqah
Exco Latihan dan Kepimpinan
PMIUPM l Pencetus Inspirasi



Tuesday, August 7, 2012

Perkhawinan, analogi sebuah kematian.

Alhamdulillah,
Setelah lama tidak mengupdate blogku yg kian bersawang ni,
akhirnya aku kembali menghadap laptop demi untuk mencoretkan sesuatu.
moga bermanfaat untuk ummat, juga untuk aku.

Semalam, sahabatku dari indonesia mengabarkan aku akan kematian eyang(neneknya) selepas koma beberapa hari sebelumnya. Aku yang kebetulan hanya satu-satu sahabat program yang muslim di bumi korea ini, merasakan akan perlunya aku untuk menemani sahabatku itu..mungkin untuk seketika, sekadar mendengar rintihan, luahan dan cerita sebuah kekesalan.

Beliau kesal, sebab tidak sempat bertemu arwah yang melalui ceritanya dapat aku tebak akan betapa rapat hubungan mereka.

bukan persoalan kesedihan mahupun kekesalan yang ingin aku timbulkan disini,
bahkan aku ingin menyentuh persoalan persediaan..ya, persediaan kematian.

Aku masih teringat akan kata-kata temanku, sorang non-muslim tentang soal ini. ketika itu, sahabatku dari Indonesia itu sedang menangis sambil ditemani aku dan beberapa teman yang lain. katanya, lebih kurang begini bunyinya, " everybody will die, its only the matter of time. so, no need to be sad for the rest of your life. we need to continue our life and be success.I believe somebody die will go to the better place(heaven), so no need to cry..she go to somewhere better..

Allahu..aku yang ketika itu sedang memikirkan persoalan kematian terus tersentak.
bagaimana sahabatku ini boleh memikirkan persoalan kematian dengan sangat positif. ya, mungkin ada beberapa perkara yang agak bercanggah dgn kepercayaan aku tapi tetap sahaja aku bisa mengambil pelajaran dari kata-katanya.

Kematian, ia hanyalah persoalan masa. bila masa? bila-bila masa.

Aku percaya dan aku percaya sahabat non-muslim aku itu juga percaya perkara yang hampir sama. Kematian bukan pengakhiran bahkan ia adalah permulaan sebuah kehidupan. Kehidupan yang kekal abadi selama-lamanya. selama mana? selama-lamanya..berapa lama? tetap sahaja, selama-lamanya.. jadi, apa sahaja persedian yang kita lakukan untuk menempuhi kehidupan yang selamanya itu? solat 5 minit selama 5 kali sehari? atau bersedekah sekali setahun? atau bayar zakat yang juga sekali setahun? atau pun dengan haji yang kita tunai sekali seumur hidup? persoalan terbesar, cukupkah?

Jadi, apa yang kamu dan aku lakukan untuk kehidupan yang panjang dan tiada pengakhiran itu? Aku percaya kalau dinisbahkan dengan masa yang kita ambil untuk menyelesaikan urusan dunia, pasti perbezaannya sangat besar. terpisah hanya kerana satu perkara
iaitu kealpaan meniatkan semua perbuatan sebagai ibadah semata-mata kerana ALLAH.
Dengan itu,pastilah 24 jam kepunyaan aku dan kamu adalah sebagai persiapan untuk menempuhi alam yang baka itu.
Alangkah indahnya kematian,permulaan sebuah kehidupan.

Alangkah bagusnya jika kita mengibaratkan kematian sebagai sebuah perkhawinan. kita menyiapkan diri kita serapinya kerana ingin bertemu dengan cinta yang sejati. Kita belajar pelbagai ilmu rumah tangga demi melayari sebuah bahtera agar tetap selamat walau kadang bergelora.kita pakai pakaian yang bagus kerana kita ingin mempersembahkan yang terbaik buat cinta hati kita.
tetapi bagaimana dengan kekasih kita yang Maha Agung? kekasih yang menciptakan kita, menjaga kita sebaiknya, mengurniakan dan menunjukkkan sayang melalui pemberianNya yang tidak pernah putus.Bagaimana persiapan kita untuk bertemuNya?

sudah cukup cantikkah amalan kita?
sudah cukup ikhlaskah ibadah kita?
sudah adakah pakaian terbaik kita iaitu taqwa?
sudah banyakkah usaha kita untuk menuntut ilmu segala?
sudah bersediakah kita untuk sebuah permulaan,
iaitu permulaan sebuah kehidupan sebagaimana perkhawinan yang juga merupakan satu permulaan..

sudah bersediakah kita?
akan tiba saatnya nanti kita melalui saat permulaan, memakai kain kafan sebagai pakaian persandingan, melalui malam pertama di kuburan..
persoalan yang sama, sudah bersediakah kita?


*Aku bukan seorang ekspertis agama yang mampu menyenaraikan segala macam dalil untuk menyokong hujahku. cukuplah aku menyuarakan apa yang aku rasa kerana aku percaya segala lintasan yang baik perlu aku kongsikan. hanya kerana aku sangat percaya semua manusia berkongsi sensasi yang sama iaitu lintasan kebenaran.

Friday, February 10, 2012

CPC untuk kita...

Analisis kajian alumni berkenaan Status Kedapatan Kerja Graduat UPM 2005 Mengikut Fakulti Bagi Tempoh 6 Bulan Pertama Selepas Menamatkan Pengajian memperlihatkan Fakulti Pengajian Pendidikan berada di tangga pertama dengan 90% graduan yang bekerja. Selaku warga Fakulti Pengajian Pendidikan penulis berasa bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh senior-senior terdahulu. Namun kini penulis berasa sangsi dengan kekosongan jawatan guru apabila penulis telah bergraduat nanti. Manakan tidak semakin lama semakin lambat guru lulusan IPTA ditempatkan di seluruh negara. Terbaru, temu duga pelantikan ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG1-1 di kalangan pemegang Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari IPTA akan dilaksanakan mengikut opsyen secara berperingkat mulai 30 Januari 2012 sehingga 16 Mac 2012. Setelah hampir 7 bulan tidak bekerja kini barulah ada berita berkenaan posting untuk graduan tahun 2011. Menanti waktu untuk pengesahan jawatan juga merupakan antara isu bagi graduan SMP kini.

Walaubagaimanapun penulis berharap agar keadaan bertambah baik pada masa akan datang. Penulis menyeru agar warga fakulti memanfaatkan masa yang ada untuk mencari nilai tambah sebelum bergraduat sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang. Dikesempatan ini juga penulis ingin mengajak agar semua warga fakulti datang ke Pusat Penempatan Kerjaya UPM (CPC) untuk mengintai ruang dan peluang kerjaya serta mengambil manfaat dari kewujudan pusat penempatan kerjaya tersebut. Hal ini kerana CPC juga ada menjalankan kerjasama dengan syarikat-syarikat luar bagi pelajar yang ingin bekerja sambilan. Laman sesawang bagi CPC ialah http://www.cpc.upm.edu.my/ .

Saturday, January 7, 2012

mata atau hati yang buta?

sekembalinya dari melawat sahabat yg tercedera,
hati ini mula meruntun hiba,
bukan kesedihan yang berkuasa,
tetapi benci yang bermaharajalela..

hati kecilku berkata,
adakah sama binatang dengan manusia?
sedang binatang itu masih ada belasnya..
hatiku cuba menafikan,
mungkin mereka tidak sengaja,
mungkin saja mereka tidak berdosa,
tapi akalku pantas menafikan,
mana mungkin itu berlaku di luar sedar..
mana mungkin..
mana mungkin..

fikiranku yang sebelumnya selalu shja positif,
mula gagal untuk bersangka tulus,
mustahil untuk aku membela syaitan hodoh bertopengkan keamanan,
sedang sahabatku bertarung dengan sesuatu yg berharga bergelar nyawa..

sedarkah mereka,
sahabat-sahabatku itu manusia biasa,
kenal erti sakit dan siksa,
kenapa enak sahaja diperlakukan sebegitu rupa,
sungguh aku tidak redha setiap titis darah yang tumpah,
walau bukan aku yang tercedera,
tapi sakitnya tetap sahaja aku terasa,
namun aku yakin,
tiap mereka yang teraniaya,
doanya pasti diterima tuhan,
mungkin di dunia mereka itu bisa sahaja terlepas,
namun akhirat nanti,tiada satu kuasa pun bisa membela kalian..

biarlah,
tika ramai menafikan kebenaran,
aku tidak hairan,
kerana di dunia akhir zaman ini memang ramai yang buta,
bukan buta mata,
tapi hatinya yg buta,
sukar melihat kebenaran walaupun berada di depan mata..

dikala ini,
terngiang-ngiang pesanan seorang yg dikagumi,
katanya sejarah membuktikan,
kebenaran selalu menjadi minoriti,
dan kebatilan itulah suara majoriti,
tapi apa yang nak dipersoalkan..
itulah sunnah dalam berjuang..
kalau lah jalan ke syurga itu manis,
pasti ramai yang mengikutinya..

tetapi hakikatnya,
jalan ke syurga itu terlalu pahit dan berliku,
hanya sebahagian mereka yg sabar sahaja bisa melaluinya~