Saturday, September 15, 2012

Mahu Gangnam style? silakan


Kebelakangan ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai isu yang berkait dengan teori konspirasi. Teori berkenaan kehadiran dajjal, iluminati, freemason dan sebagainya. Perasaan gundah dan kalut yang pada awalnya bertandang bertukar menjadi bosan dan meluat bilamana hampir semua perkara yang datang dikaitkan dengan teori konspirasi.

Yang terbaru ialah berkenaan fenomena Oppa Gangnam Style.



Saya tidak ingin mengulas panjang mengenai isu Gaya Abang-abang di Gangnam ini. Saya malahan tidak akan menaip maksud keseluruhan lirik lagu yang menjadi fenomena ini. Saya juga tidak mahu seperti sesetengah orang lain mengaitkan lagu ini dengan teori konsiprasi ataupun lebih lucu lagi dengan pemesongan akidah. Cukuplah bagi saya untuk mengupas isu ini dengan pandangan yang lebih adil dan akademik.

Kembara saya ke Korea selama sebulan, walaupun tidak lama tetapi cukup membuatkan saya mengagumi masyarakat Korea dalam beberapa aspek. Ada pihak yang memandang demam korea ini sebagai suatu barah yang akan merosakkan namun tidak saya. Ya, mungkin tariannya tidak sihat( kerana ada tidak sopan dan sebagainya) tetapi budaya kerja mereka amat saya sanjung. Katalah apa sahaja. K-Pop? Industri Filem? Industri Permotoran? Apa sahaja.

Anda fikir berapa lama masa yang diambil oleh Super Junior untuk mereka mahir menari sekompleks itu? Atau berapa lama masa yang diambil oleh Girls Generation untuk menjadi secantik itu? (hanya 2 kumpulan ini sahaja yang saya tahu). Sekali lagi saya ulang, saya tidak mengagumi tarian dan kecantikan mereka tetapi komitmen mereka dalam bekerja itu yang saya hormat.
Perjalanan saya ke korea boleh juga saya sifatkan sebagai satu perjalanan merentas masa hadapan. Mungkin melawat Malaysia 10 tahun akan datang? Saya bukan mahu menceritakan betapa tidak majunya Malaysia tetapi saya ingin mengkisahkan akan majunya masyarakat Korea.

Saya bertanya kepada seorang teman saya dari Korea,

“Apakah penyebab Korea boleh menjadi semaju ini?”

Jawapannya ialah “ budaya kuat kerja”

Mereka juga sangat bangga menggunakan produk buatan mereka. Samsung? LG? Hyundai? Semuanya dari Korea. Bukan sahaja mereka, bahkan kita juga bangga menggunakannya termasuk saya yang menulis (walaupun saya sekadar menggunakan handset Samsung model Corby).

Bukan soal bangga itu yang ingin saya perihalkan tetapi usaha mereka untuk sampai ke tahap itu yang mahu saya tekankan. Rata-rata masyarakat Korea yang bekerja di syarikat-syarikat gergasi seperti Samsung dan LG mengorbankan masa lapang mereka untuk bersosial dengan keluarga dan teman-teman. Hidup mereka hanya kerja dan kerja. Bukan saya mahu kita menjadi seperti itu,sama sekali tidak! Tetapi semangat itu yang saya kagum. Alangkah baiknya kalau kita masyarakat Malaysia heboh mahu mencontohi budaya dan semangat kerja rakyat Korea. Pasti kualiti kerja kakitangan awam mahupun swasta bertambah bermutu. Pasti tiada pekerja yang curi tulang untuk pergi makan mahupun membuka laman sesawang sebelum waktunya. Jika dalam aspek ini yang kita mahu tiru, pasti dan pasti, Negara tercinta ini akan maju. Maju dan lebih maju. Insyaallah.

Berbalik kepada tarian Gangnam sebentar tadi, sekali lagi saya ulang. Saya tidak menyokong bahkan tidak juga mengecam mereka yang sibuk dan teruja mencontohi budaya luar yang terang-terang bertentangan dengan agama dan budaya. Namun, saya lebih suka jika masyarakat kita mengambil perkara yang lebih bermanfaat daripada masyarakat lain. Kalau betul ingin meniru K-Pop, silakan. Tetapi bukan dalam aspek tarian dan pakaian namun dalam aspek kegigihan. Jika mahu menari Gangnam style, teruskan. Namun bukan di hadapan ramai orang dengan pergaulan yang secara jelas melanggar batasan.


Nor Fatehah binti Ahmad I Fatehasyauqah
Exco Latihan dan Kepimpinan
PMIUPM l Pencetus Inspirasi



2 comments: