Thursday, October 9, 2014

Ibrah dari adik.

Cerita balik kampung.

Setiap hari kita belajar.

Dan terdapat pelbagai perkara Allah hadirkan di sekeliling kita untuk kita belajar dan terus belajar.

belajar berfikir. belajar mengambil ibrah.

kisah ibrah ini berlaku ketika di kampung. mudah sangat kisahnya. namun besar pengajaran di sebalik cerita.

Fariz iaitu adik saya yang paling bongsu menghidapi penyakit gatal-gatal.
Habis satu badan keluar ruam dan kudis.

sekali tengok memang tak tahan rasanya. Pasti tergaru-garu siang dan malam.

jadi, mak dan abah usahalah macam-macam. dari cara tradisional hingga ke cara moden.

akhir sekali mak abah pun bawa Fariz ke klinik berbayar untuk cucuk (bahasa bandarnya suntikan).

Namun, gatal-gatal tak juga hilang. Masih banyak dan teruk.

"Hish, tak hilang jugak gatai ni. Dah cucuk klinik bayaq pun tak ilang jugak" keluh emak apabila melihat suntikan yang dibuat tidak mendatangkan kesan yang diharapkan.

"ALLAH tak bagi sembuh lagi mak" kata Fariz diiring senyuman terukir di bibir.

jawapan singkat yang mendiamkan semua orang pastinya.

terima kasih adik atas pelajaran yang diberi.

konsep tawakal kepada Allah diaplikasi. Jawapan penuh erti.

Tuesday, October 7, 2014

PILIHAN

Pilihan.

Dunia ini sentiasa memaksa kita membuat pilihan.

Setiap hari kita memilih.Sepanjang masa. 

makan apa. pakai apa. pergi mana. dengar apa. cakap apa. belajar apa.

itu semua perlu dipilih..

membuat pilihan memang sukar. saya akui itu. 
Namun ada yang lebih payah dari membuat pilihan. Iaitu memilih untuk mempunyai satu pilihan sahaja. 

tanpa kita sedar setiap hari kita hidup dalam fahaman tersebut. 
kita faham bahawa kita mesti memilih. dan hanya ada satu pilihan yang tepat. Ya,hanya satu!

sebab itu kita selalu dengar,

"adik sayang emak ke ayah?"

"awak cucu tok ngah ke wan jah?"

"awak nak balik kampung saya ke kampung awak?"

setiap kali kita terbiasa dengan membuat satu pilihan dalam hidup. memilih yang kononnya betul dan yang tak dipilih itu mestilah salah.

konsep sebegini ditanam lama dalam masyarakat kita. disemai dalam pendidikan dan berakar umbi dalam pemikiran. 


Kesubjektifan Dunia

kehidupan ini bukanlah semudah dan seobjektif yang kita fikirkan.

dunia ini bukan seperti peperiksaan kertas objektif yang menyediakan pilihan jawapan.

Pilih A, B, C atau D. Dan kadang-kadang punya pilihan E iaitu semua di atas,

Bahkan, hidup ini ialah peperiksaan subjektif yang mana markah tinggi boleh diperoleh dengan banyak cara.

bukan cara dan jawapan kita sahaja yang betul walau kita dapat markah 100%.


Kita boleh menang-menang

Solusinya?

untuk permulaan, mungkin kita semua boleh belajar untuk berhenti percaya bahawa setiap perkara hanya ada satu cara penyelesaian yang tepat.

juga berhenti memaksa orang lain untuk turut mempercayainya.

inshaallah, dunia akan menjadi lebih baik.








Saturday, September 13, 2014

Kaca mata dia

saya ada seorang sahabat (sahabat syurga inshaallah).
beliau adalah orang yang pelik.
semua orang cantik dan baik di matanya.
makanan bila dicuba dimulutnya, semuanya pasti dikatakan enak.

selalu terjadi,
bila dia mengatakan si polan dan si polan tu cantik, saya akan menoleh dua tiga kali bagi mencari sisi cantik mereka yang dipuji.
begitu juga dengan makanan dan pakaian.

dan selalunya saya akan berbisik sendirian,
"biasa2 je"

tapi itu dulu.

dulu memang saya pelik dan hairan.
namun kini,
bila selepas lama berkawan, saya tersedar satu perkara.

bukan insan sekelilingnya semua cantik2 dan baik2 tetapi dia yang sebenarnya istimewa.

semua dilihat cantik kerana dipandang dari hati yang cantik.

semua insan baik kerana dia berjaya mencari sisi baik setiap orang.

dia, ada kaca mata yang bersih.

aku juga ingin membersihkan kaca mata aku.
kaca mata hati.





Sunday, May 11, 2014

"mak tengah berubah" kata emak perlahan.

aku terdiam dan sebak pun mula bertandang. sukarnya untuk aku membayangkan betapa peritnya kehidupan mak. lagi perit apabila terpaksa menundukkan ego memohon maaf dari seorang insan bernama anak.

"mak belajar, baca buku, tengok rancangan tv. mak nak jadi mak yang lebih baik".

aku terkedu lagi. terasa bersalah kerana membangkitkan hal sensitif begitu. puncanya ialah aku yang dengan yakin memeberi nasihat ala-ala pakar motivasi kepada mak. bukan apa, aku jadi rimas bila mak berterusan meleteri adik-adik lelakiku yang sibuk dengan permainan video. aku yang kononnya pelajar kaunseling, yang kononnya sarat dengan ilmu psikologi manusia, berlagak heroin menegur emak. 

mengatakan yang kononnya tidak sesuai berterusan meleteri dan memarahi. boleh memberontak jiwa remaja jika asyik diasak dan dijerkah. 

tidak kuduga niat baikku itu telah mengecilkan hati seorang ibu.

persekitaran membentuk peribadi 

mak selalu bercerita kepada kami anak-anaknya tentang masa kecilnya yang sukar. terpaksa berhenti sekolah dek pemikiran sempit dan kolot atuk nenekku. yang kononnya perempuan tempatnya di dapur. 
mak pelajar cemerlang. selalu mendapat piala dan hadiah setiap kali ada penyampaian hadiah. dan setiap kali itu juga emak gagal menghadirkan diri kerana kekangan pengangkutan.

mak juga terpaksa bekerja dari kecil. terpaksa ke kebun getah menolong atuk apa yang patut. balik dari kerja pula, terus bertungkus lumus menyediakan masakan untuk seisi keluarga lantaran nenek yang tidak begitu sihat.

nenekku juga sangat garang ketika muda. makcik-makcikku sering berkata yang lagak nenekku lebih dasyat dari ibu tiri. 
ibuku cukup benci perangai nenekku yang satu itu. namun puluhan tahun dididik dalam suasana begitu sedikit sebanyak memebentuk peribadi emak yang juga bagiku garang ketika muda. mujur saja mak ialah manusia bijak yang sedar dan mahu mengubah diri. 

mak tengah berubah 

aku tahu mak sedang berusaha. berusaha menjadi ibu terbaik untuk anak-anaknya. 
berusaha mengawal perasaan. berusaha menunjukkan sayang. berusaha berkorban. 

mak, selamat hari ibu.




Sunday, May 4, 2014

Kelupaan yang Terhina

KELUPAAN YANG TERHINA

seriously seharian ini aku memaksa diri untuk memerah otak.
menggasak neuron-neuron yang semakin lambat bekerja. ataupun bahasa kasarnya, lembab.

aku memaksa diri ini muhasabah dan menoleh kebelakang.
memandang hidup sendiri yang rasa serba tak kena. ada keanehan. ada kejanggalan.

lama berfikir berjaya membuat aku sedar akan sesuatu.
aku sebenarnya kehilangan. kehilangan ingatan penyebab untuk aku terus hidup.

apa sebab kita memilih untuk terus hidup?

banyak manusia masih bernafas hari ini. kita memilih untuk terus hidup.

persoalannya, kenapa kita memilih untuk hidup? kenapa dan kenapa?
sedangkan banyak manusia lain ketika ini memilih untuk mati. dengan pelbagai cara.

itulah persoalan yang aku sedang runsingkan. aku lupa kenapa aku memilih untuk terus hidup.

tandanya, aku membuat banyak urusan sia-sia. aku lupa bahawa aku memilih untuk terus hidup kerana aku ingin menjadi hamba hina yang mulia.

aku semakin lokek berbuat kebaikan. aku lupa bahawa aku memilih untuk terus hidup kerana ingin menjadi sebahagian dari penghuni syurga.

aku juga semakin malas menambah ilmu di dada. aku lupa bahawa aku memilih untuk terus hidup kerana ingin mengubah dunia.
dan dunia hanya boleh diubah oleh mereka yang kaya pengetahuan.
dan luasnya pengetahuan itu pasti tidak boleh diperoleh dengan hanya bersenang lenang di depan sebuah kotak hitam.

ternyata, aku lupa tujuan aku dilahirkan. aku lupa asbab tuhan terus memberi aku nafas untuk kekal berjalan.
aku lupa. kawan, tolong ingatkan aku.
oh, aku juga sudah lupa adakah aku masih ada mereka yang bergelar kawan.