Tuesday, March 24, 2015

NAK KAYA? BERANAKLAH.

Saya dulu-dulu iaitu ketika mula-mula baru kahwin, pernah berbincang dengan suami tentang mempunyai anak.

Saya ketika itu tiba-tiba mempunyai kinginan yang menggebu untuk mempunyai cahaya mata sendiri, apatah lagi tengok anak-anak orang lain yang comel-comel semuanya.

Namun disebabkan saya ini adalah seorang manusia yang sentiasa go with plan, saya membatalkan hasrat tersebut. Hal ini kerana saya mendapati saya dan suami tidak mampu menampung kos bagi mempunyai seorang bayi!

Macam-macam yang saya congakkan dalam kira-kira saya. Dari kos kelahiran, berpantang dan segala macam kos yang menyesakkan dada.

Tambahan pula ketika itu, suami hanya bekerja part time dan saya sendiri hanyalah seorang penganggur lepasan ijazah. Hidup kami ketika itu memang agak susah.

Kami pernah mengira syiling yang kebetulan dikumpul oleh suami untuk ditukar di bank bagi meneruskan hidup untuk bulan berikutnya. Mengisi minyak kereta dengan syiling yang disimpan juga biasa. Malah saya pernah berasa makan berkongsi hanya sebutir telur goreng dengan suami. Menu hari-hari adalah telur yang dipelbagaikan jenis masakannya. Hari ini telur kicap, esok telur sambal. Kalau teringin makan tomyam, maka tomyam telurlah pada hari tersebut!

Ketika itu hidup jadi sangat berkira. Nak gerak sana sini jadi susah disebabkan catuan minyak dan juga belanja. Dulu hanya belajar pepatah kais pagi makan pagi kais petang makan petang, kini kami sudah merasainya. Kadang bila membaca kesusahan orang lain di media, saya mengalirkan air mata disebabkan faham teramat sangat perasaan miskin tersebut.

Maka disebabkan itulah kata saya, hasrat untuk mempunyai bayi mestilah ditangguhkan.

Walaubagaimanapun, balasan suami saya mudah saja.

" Adalah nanti rezeki kita." Itulah kata-katanya setiap kali kami dalam keadaan susah. Keyakinan suami saya tu memang tidak boleh diterima logik akal saya pada mulanya.

Namun selepas saya disahkan hamil, rezeki datang dalam keluarga kami tanpa penjelasan yang logik!

Suami diterima bekerja sepenuh masa.
Kami ditawarkan rumah kondo untuk disewa dengan harga yang lebih murah dari kesemua flat di Puchong.
Dan banyak lagi duit yang datang dari pelbagai sumber yang memang tidak boleh diterima dengan logik akal orang seperti saya.

Dan betullah kata seorang sahabat juga idola saya, dalam hidup ini bukan hanya Persediaan tetapi Keyakinan juga sangat penting. Keyakinan kepada Allah. Yakin dengan rezeki yang ALLAH janjikan terhadap setiap anak yang dikurniakan.

Dan ketika ini, setiap kali saya mengusap perut yang makin membesar, pasti saya akan membisikkan kalimah terima kasih kepada anak bertuah ini.

Kata akak ipar saya dengan nada bercanda, agak-agak kalau rasa susah, beranaklah. Inshaallah senang. Senang duit dan senang hati. ^_^

No comments:

Post a Comment