Thursday, March 12, 2015

Punctual | dengan Manusia dengan Tuhan

Saya ingat lagi satu ketika dahulu, seorang pensyarah yang sangat saya hormati pernah menyindir kami-kami yang selalu datang lewat ke kelas.

Bukan lewat 10 atau 5 minit pun. Kadang-kadang ada yang lewat seminit sahaja. Tetapi bagi pelajar dalam jurusan pendidikan, lewat satu minit adalah kesalahan yang tidak termaafkan. Nak didik anak bangsa kan?

" Selalunya orang yang lewat dalam urusan seharian ini, dia mesti lewat juga dalam menunaikan kewajipan solat"

Begitulah lebih kurang ayat yang pedas dan memanaskan telinga tersebut. Pada ketika itu, saya yang berasa agak tersindir juga berasa agak tidak setuju. Mana ada solat lewat, saya kan budak yang ikut usrah! Lagipun saya lewat beberapa minit sebab banyak urusan yang perlu dilakukan di rumah sewa.

Dan beribu lagi alasan timbul dalam benak saya demi menangkis tuduhan kejam dari pensyarah saya.

Tapi lama-kelamaan, hati nurani dan akal saya mula bersetuju dengan pendapat tersebut.

Kebelakangan ini memang saya agak terlewat mengerjakan solat fardhu. Pada mulanya adalah disebabkan jadual waktu kuliah yang selalu bertembung dengan waktu solat.
Contohnya, kuliah bermula jam 12 tengahari dan tamat jam 3 petang. Selalunya kalau berlaku situasi seperti itu, saya akan menunaikan solat zohor pada jam 3 petang.

Dan hal ini lama-kelamaan menjadi satu kebiasaan. Kalau dulu dengar sahaja azan, saya sudah bergerak mengambil wuduk, kini tidak lagi. Saya sudah hilang rasa ingin segera menyambut seruan ilahi. Saya cenderung untuk menghabiskan semua urusan saya terlebih dahulu berbanding pertemuan dengan Kekasih Hati.

Paksa diri berubah

Semenjak teguran itu, saya memaksa diri saya untuk solat lebih tepat pada waktu. Walaupun ada kuliah, saya akan keluar ketika pensyarah sedang take 5 untuk menunaikan solat. Alhamdulillah, keculasan saya terhadap solat mula berkurang.

Teringat satu kata-kata,

"Kita kalau boleh nak ALLAH tunaikan permintaan kita cepat, tepat dan segera. Minta dipermurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan. Minta kebahagiaan dunia dan akhirat. Macam-macam kita minta dengan ALLAH. Tapi, seruan ALLAH iaitu solat kita lambat-lambatkan. Macam mana ALLAH nak cepat-cepat kabulkan doa kita?"

Sentap.

Sungguh, kalau kita sukar untuk punctual dengan ALLAH. Bagaimana kita hendak punctual dengan manusia lainnya?


Ummu | Fateha Syauqah
    13/3/2015
 Dalam bilik study 

Wednesday, March 11, 2015

Tips tingkatkan hb darah ketika hamil

Dua bulan lepas saya dilanda kebimbangan yang agak dasyat.

Semuanya gara-gara Hb saya menurun sehingga paras 10.5.

Pada mulanya saya hanya tersenyum bila nurse menunjukkan bacaan hb saya yang tidak berapa membanggakan itu. Apalah sangat dengan Hb kan?  Namun senyuman saya menjadi kelat apabila nurse mula mengeluarkan beberapa fakta akan bahaya hal ini.

Katanya, nanti baby tak dapat banyak oksigen kalau hb kurang. Yalah, sel darah merah ini yang bawa oksigen dalam badan. so, kalau hb kurang maksudnya darah tak pekat. kalau darah tak pekat maksudnya kurang sel darah merah. kalau kurang sel darah merah, kuranglah oksigen!

Oh, tidak! saya yang mempunyai naluri keibuan yang menggebu-gebu ini mula berasa risau.
Jadi, selepas berbincang dengan nurse dan membuat sedikit sebanyak pembacaan, saya pun tampil dengan beberapa petua.

Dan Alhamdulillah, hb saya naik dari 10.5 ke 12.5! Jadi, ini petua dan tips yang saya amalkan sepanjang dua bulan lepas. (amaran: ia mungkin berkesan pada saya tetapi tidak pada anda. tetapi tidak salah mencuba kan? No harm done anyway)

Tips dan amalan saya ^_^

1. Perbanyakkan makan buah jambu batu. Kalau saya, saya potong kecil-kecil dan sejukkan terlebih dahulu dalam peti ais. Selain membantu peningkatan hb, ia juga boleh membantu menghilangkan pedih ulu hati (heartbun).

2. Makan buah oren. Selain sedap ia juga membantu menambahkan hb kita. Ada juga yang berpendapat yang buah oren boleh mencantikkan tekstur kulit bayi yang dikandung. Betul atau tidak? tunggulah baby ini keluar nanti, Inshaallah.

3. Minum susu kambing. Setiap pagi saya akan pastikan ada secawan susu kambing sebagai sarapan. Selain ianya baik untuk tulang sebagai sumber kalsium, susu kambing juga makanan sunnah kan??

4. Saya selalu minta a.k.a paksa suami saya belikan bayam. Dan kekerapan makan sayur bayam ini juga membuatkan saya jadi nak muntah setiapkali tengok bayam ini. hehe

5. Olive oil. saya sekarang boleh dikatakan hidup bersama olive oil 24 jam. Mana tidaknya, selain makan olive oil sebagai supplement, Saya juga menyapunya di kawasan-kawasan yang mudah keluar strecth mark, sepanjang masa. Setiap kali mandi dan sebelum tidur. Berkesan? Alhamdulillah setakat ini tiada sebarang stretch mark yang membuat saya stress hingga tak boleh tidur. :')

Ada juga nurse pesan, sila makan hati ayam untuk tambah hb. Ha, yang ini saya tak ikut. Satu, sebab tak selera sangat dan satu lagi, sebab hati ayam ini adalah organ dalaman haiwan. So, cuba elakkan selagi mampu.

Setakat ini, itu sahaja.

Yang penting jaga pemakanan. Jangan selalu makan luar, kalau boleh masak sendiri. Yalah, dirumah kita boleh kawal kandungan makanan kita.
Kalau kedai ini selalunya mesti letak MSG untuk menyedapkan makanan masing-masing secara mudah dan murah.

Dan yang paling penting, banyakkan berdoa. Moga kita dan baby sihat ^_^


Ummu | Fateha Syauqah
        12/3/2015
  Dalam bilik study 

Friday, March 6, 2015

Sabar dalam kebaikan

saya dulu pernah mengalami zaman nakal-nakal juga.

zaman jahiliah orang kata.

tapi itu kisah lama. sekarang ini alhamdulillah. Takdelah baik sangat, cuma mencuba untuk menjadi baik. (dulu, cuba pun tak pernah)

Dan perubahan dari satu zaman ke zaman tu memaksa kita secara semulajadinya melalui fasa-fasa tertentu. 

Fasa yang paling kritikal ialah fasa, kita nak semua benda sekeliling ikut berubah macam kita. Inilah fasa paling mencabar dan kritikal untuk orang yang nak berubah. Dan kalau fasa ini tak dilalui dan dibantu dengan betul, boleh give up jadinya.


Perubahan memakan masa

Ada satu kisah yang diceritakan kepada saya, cerita yang menyentuh hati saya sehingga hari ini. 

Kisah seorang muslimah bernama A. Alhamdulillah dia sudah mula berhijrah. Dari zaman gelap ke zaman mencari hidayah. Dia mengikuti program-program usrah dan ceramah untuk membaiki diri.

Ketika itu, semangatnya untuk berdakwah berkobar-kobar. Jiwa inginkan pengislahan pada dirinya membuatkan dia ingin berdakwah kepada semua manusia. Pengertian A tentang kehidupan Islam sangat idealistik dan malangnya dia memaksa keyakinan itu diyakini oleh menusia lain juga.

pada satu hari si A datang pada saya mengadu. Katanya, dia sangat stress dengan ahli keluarga beliau. Beliau inginkan satu keluarga yang sakinah dan mawwadah. satu rumah yang berkah.
Malangnya, keluarga A tidak begitu. Yang paling stress bagi A ialah adik lelakinya.

A inginkan adiknya solat pada awal waktu. pergi berjemaah ke masjid setiapkali waktu solat. ingin melihat adiknya membaca Quran dengan tartil. namun, semua nasihat A kepada adiknya tidak diendahkan. 

kata si A lagi, dia sudah give up. Dia susah nak berdakwah. pada keluarga sendiri pun dia gagal apatah lagi pada orang lain. 

Sedikit pandangan 

Kata saya, bagilah masa. Bagi masa untuk kita dan mad'u kita. Kita dakwah hari ini, tidak semestinya mad'u akan berubah hari ini. 

Sedangkan kita dulu pun tidak berubah segera bila dengar ceramah yang disampaikan oleh jemaah tabligh depan pintu rumah kita. Atau terus berubah bila guru disiplin rotan kita di hadapan kawan-kawan? Paling tidak kita memerlukan masa untuk memikirkan tentang rasional dan kerelevanan sesuatu nasihat, bukan?

Setiap manusia melalui proses dan fasa perubahan masing-masing. Boleh jadi nasihat kita hari ini, hanya akan diguna 10 tahun lagi. Boleh jadi. 

Dan, hidayah itu kerja Allah. Kita hanya menyampaikan, itu tugas kita. yang buka pintu hati hanyalah Allah. Jangan ambil kerja Tuhan. yang termampu bagi daie seperti kita ialah doa. Istiqamah dengan doa. Kita berubah pun mungkin disebabkan doa-doa orang yang ikhlas mendoakan kita. Siapa tahu kan?

Alhamdulillah 

Setengah tahun selepas tu, saya berjumpa lagi dengan si A. Kali ini mukanya lebih berseri berbanding setengah tahun lepas. Tidak stress dan runsing memanjang disebabkan oleh kerja-kerja dakwah. 

A mengucapkan terima kasih kepada saya. Dan apa yang lebih mengembirakan saya ialah ahli keluarga A sudah mula berubah semuanya. 

Si Ibu mula memakai tudung labuh dan meminta stokin kaki untuk dipinjam. Adiknya yang diceritakan dulu pun sudah pandai menyertai usrah dan mengimamkan solat berjemaah! Hampir menitis air mata saya dengan berita gembira tersebut. Apa yang lebih mengembirakan dari mendengar seorang lagi hamba mula mengenal Tuhan?

Kata A, sebelum mula merubah dia yang terlebih dahulu berubah. Katanya Action speaks Louder than Words. Dia tak cakap tapi dia tunjuk. dan dia juga tidak memaksa perubahan segera. Beri masa dan istiqamah berdoa. Alhamdulillah, semuanya mula menampakkan hasil secara perlahan-lahan.

Katanya lagi, dia kini sudah belajar untuk bersikap lebih lembut terhadap mad'u. Dan hasilnya, dia lebih gembira untuk berdakwah dan istiqamah dalamnya. 

Sabar dalam membuat kebaikan

Kesimpulanya, dalam membuat kebaikan pun perlu ada kesabaran. Jangan memaksa manusia berbuat baik tetapi berbuat baiklah kepada manusia. selepas habis usaha, berdoalah. Moga mad'u kita mendapat hidayah dan kita juga terus istiqamah dalam jalan dakwah.

Inshallah, moga saya dan kamu sentiasa konsisten. atau bahasa usrahnya, istiqamah. 



Monday, March 2, 2015

Jangan sering guna Jangan

Jangan sering guna jangan.

sedar atau tidak kebanyakan dari kita sering menggunakan jangan untuk melarang sesuatu tindakan.

terutamanya pada anak-anak.

Adakah salah menggunakan jangan?

Menurut kebanyakan ahli psikologi barat, penggunaan perkataan jangan yang terlalu kerap akan menimbulkan aksi rebel ataupun pemberontakan dalam jiwa anak-anak.

Jika sesiapa pernah membaca buku Aundrey Ricker dalam bukunya Backtalk, ada dicatatkan bahawa penggunaan perkataan Jangan atau Don't perlu disimpan untuk situasi-situasi yang penting ataupun menurut buku ini, Life-Treathening situation. 

Pasti sangat menyebalkan kalau asyik dipesan,

"Kaklong, jangan buat tu!"

"Kaklong, jangan tengok tv!"

"Adik, jangan buat macamtu!" 

Sebagaimana yang dikatakan, simpan penggunaan perkataan Jangan untuk situasi penting yang memerlukan ketegasan.

Sebagaimana penggunaan jangan dalam Al-quran, kita terutamanya para ibu bapa boleh mencontohi Luqman Al-Hakim dalam penggunaan jangan iaitu menggunakannya dalam perkara-perkara penting dan utama.

seperti, "Jangan menyekutukan Allah" dan yang seumpama dengannya.

Jadi secara automatik, anak-anak kita akan mendapat insyarat akan peri pentingnya larangan tersebut dek kerana jarang-jarang digunakan.

Ya lah, benda-benda eksklusif kalau selalu digunakan akan hilanglah hak eksklusifnya bukan?

Kesimpulannya, tepuk dada, banyakkan membaca. 

p/s: bukan mudah nak jadi mak ayah ^___^



Thursday, February 26, 2015

Dajjal bermata satu?

Pernah tak cikgu mengadu bahawa anak kita sukar untuk menumpukan perhatian?

atau anak kita cepat berputus asa dan hilang fokus ketika membuat sesuatu tugasan?

ataupun mudah bosan ketika sedang melakukan sesuatu dan beralih kepada perkara lain dan kemudian bosan lagi?

Actually, masalah mudah hilang tumpuan ini berpunca dari banyak benda.

Dan antara punca yang paling fundamental ialah kerap menonton TV dan terdedah dengan TV seawal dari bayi lagi.

Persoalannya kenapa dengan TV?

Kalau kita perasan drama-drama, iklan, filem dan apa sahaja yang ditayangkan di TV ini pasti mempunyai babak2 yang berubah dari masa ke semasa.

Even dalam cerita kanak-kanak seperti upin-ipin dan boboiboy pun mempunyai babak yang cepat berubah. (nama pun cerita kan? kalau statik bosan pulak =_=')

masalahnya disini, kehidupan realiti kita tak sepantas tu. jadi, kanak-kanak yang selalu terdedah dengan drama2, filem, iklan ini akan cepat berasa bosan apabila buat sesuatu yang statik. contohnya: membaca, belajar mengira dan seumpamanya dengannya.

Terjadilah masalah murid tak boleh fokus dalam kelas, cepat bosan bila tengah belajar, tak mampu menyiapkan sesuatu tugasan yang diberi dan mudah hilang sabar dengan sesuatu.
Dunia ni memang pantas. ya, saya setuju. Tapi tetap kena tekun dan sabar dalam menghadapinya kan?

so, berpada-padalah menonton TV. Sebagai ibu bapa kita boleh mengubahnya kan? mulakan seawal bayi lagi. If we change the starting of the story, we might change the entire plot kiki emoticon

p/s: Live by plan not by chance.

Thursday, October 9, 2014

Ibrah dari adik.

Cerita balik kampung.

Setiap hari kita belajar.

Dan terdapat pelbagai perkara Allah hadirkan di sekeliling kita untuk kita belajar dan terus belajar.

belajar berfikir. belajar mengambil ibrah.

kisah ibrah ini berlaku ketika di kampung. mudah sangat kisahnya. namun besar pengajaran di sebalik cerita.

Fariz iaitu adik saya yang paling bongsu menghidapi penyakit gatal-gatal.
Habis satu badan keluar ruam dan kudis.

sekali tengok memang tak tahan rasanya. Pasti tergaru-garu siang dan malam.

jadi, mak dan abah usahalah macam-macam. dari cara tradisional hingga ke cara moden.

akhir sekali mak abah pun bawa Fariz ke klinik berbayar untuk cucuk (bahasa bandarnya suntikan).

Namun, gatal-gatal tak juga hilang. Masih banyak dan teruk.

"Hish, tak hilang jugak gatai ni. Dah cucuk klinik bayaq pun tak ilang jugak" keluh emak apabila melihat suntikan yang dibuat tidak mendatangkan kesan yang diharapkan.

"ALLAH tak bagi sembuh lagi mak" kata Fariz diiring senyuman terukir di bibir.

jawapan singkat yang mendiamkan semua orang pastinya.

terima kasih adik atas pelajaran yang diberi.

konsep tawakal kepada Allah diaplikasi. Jawapan penuh erti.

Tuesday, October 7, 2014

PILIHAN

Pilihan.

Dunia ini sentiasa memaksa kita membuat pilihan.

Setiap hari kita memilih.Sepanjang masa. 

makan apa. pakai apa. pergi mana. dengar apa. cakap apa. belajar apa.

itu semua perlu dipilih..

membuat pilihan memang sukar. saya akui itu. 
Namun ada yang lebih payah dari membuat pilihan. Iaitu memilih untuk mempunyai satu pilihan sahaja. 

tanpa kita sedar setiap hari kita hidup dalam fahaman tersebut. 
kita faham bahawa kita mesti memilih. dan hanya ada satu pilihan yang tepat. Ya,hanya satu!

sebab itu kita selalu dengar,

"adik sayang emak ke ayah?"

"awak cucu tok ngah ke wan jah?"

"awak nak balik kampung saya ke kampung awak?"

setiap kali kita terbiasa dengan membuat satu pilihan dalam hidup. memilih yang kononnya betul dan yang tak dipilih itu mestilah salah.

konsep sebegini ditanam lama dalam masyarakat kita. disemai dalam pendidikan dan berakar umbi dalam pemikiran. 


Kesubjektifan Dunia

kehidupan ini bukanlah semudah dan seobjektif yang kita fikirkan.

dunia ini bukan seperti peperiksaan kertas objektif yang menyediakan pilihan jawapan.

Pilih A, B, C atau D. Dan kadang-kadang punya pilihan E iaitu semua di atas,

Bahkan, hidup ini ialah peperiksaan subjektif yang mana markah tinggi boleh diperoleh dengan banyak cara.

bukan cara dan jawapan kita sahaja yang betul walau kita dapat markah 100%.


Kita boleh menang-menang

Solusinya?

untuk permulaan, mungkin kita semua boleh belajar untuk berhenti percaya bahawa setiap perkara hanya ada satu cara penyelesaian yang tepat.

juga berhenti memaksa orang lain untuk turut mempercayainya.

inshaallah, dunia akan menjadi lebih baik.